Tempatan

Halalkan Industri Pelacuran Adalah Fitrah Kehaiwanan – Ustaz Haji Razali Daud MAMPIR

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 7 April 2021 – “Menghalalkan industri pelacuran atau industri seks bebas adalah fitrah kehaiwanan yang tiada peradaban. Ia juga ditolak oleh semua agama. Hanya syaitan yang gembira bila manusia berakal jatuh moral atau maruahnya lebih rendah dari martabat haiwan.”

Ini merupakan jawapan Ustaz Haji Razali bin Daud, salah seorang wakil dari Sekretariat Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR) dalam ulasannya terhadap pembentangan kertas kerja “Hak Asasi Pekerja Seks” oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dato’ Dr Madeline Berma.

Menurut beliau, sudah tiba masanya Malaysia tampil mengajar dunia akan takrifan sebenar Hak Asasi Manusia yang benar-benar menepati fitrah kemanusiaan iaitu manusia berhak untuk hidup secara tertib mengikut hukum-hukum yang dipandu agama dan dikawal oleh “Law of The Land” atau Perlembagaan sesebuah Negara.

Ujarnya, cadangan Dato’ Dr Madeline itu merupakan satu penghinaan terhadap wanita di seluruh dunia terutamanya di Malaysia.

“Cadangan tersebut boleh diterjemah sebagai “women strategic demoralisation” atau suatu penghinaan dan pengkhianatan strategik ke atas moral kaum wanita di Malaysia khasnya dan di dunia amnya.”

Ia juga lebih bersifat manipulasi, eksploitasi oleh sindiket jenayah terancang yang mesti dibanteras kerana undang-undang negara sudah jelas menggariskan bahawa kegiatan persundalan/pelacuran adalah salah seperti yang termaktub dalam Kanun Keseksaan Seksyen 372, 372A, 372B dan 373.

“SUHAKAM sepatutnya menjadi Suruhanjaya yang menumpukan kepada penyempurnaan pelaksanaan Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh aspek Kebebasan Asasi. Perkara-perkara tersebut mesti diteliti secara kontinuum atau kesinambungan sosiopolitik, Agama, sejarah, adat budaya bangsa atau kaum asal dan majoriti di Negara ini,” kata Ustaz Haji Razali.

Ujarnya lagi, melihat kepada kesinambungan tindakan-tindakan yang berterusan setakat ini menampakkan seperti adanya suatu agenda yang dirancang atau pelan jangka panjang yang ingin dicapai oleh SUHAKAM, pejuang hak asasi acuan Barat dan kuncu-kuncu mereka dalam perkara sebegini.

“Apapun mereka merancang, Allah dan para hambaNya yang beriman juga merancang agar mudarat dapat dijauhkan.”

Justeru, menurut beliau, NGO Islam perlu meneruskan usaha “educate and empower” masyarakat dengan naratif yang menepati tuntutan Perlembagaan Persekutuan yang ditafsir selaras dengan konteks Watan Malaysia.

“Pada masa yang sama turut mendesak pihak-pihak berwajib agar memastikan orang yang benar-benar ahli, jujur dalam membela hak-hak asasi Kedaulatan Negara, Raja-Raja, Agama Islam, bangsa Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilantik pada posisi yang strategik.”

Mengakhiri kenyataan, Ustaz Razali menyeru kerajaan Malaysia mengambil inisiatif menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan menyediakan bimbingan serta peluang kerjaya yang lebih baik untuk kaum wanita bagi mencegah perkembangan industri tersebut.

“Pihak Kerajaan yang prihatin dan komited berkhidmat pada rakyat sepatutnya mengambil pendekatan mencegah perkembangan industri melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan menyediakan bimbingan serta peluang kerjaya yang lebih terhormat buat maruah serta moral kaum wanita.”

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dato’ Dr Madeline Berma baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan Malaysia mengiktiraf dan mengesahkan kegiatan pelacuran/persundalan melalui pembentangan kertas kerja “Hak Asasi Pekerja Seks di Malaysia”.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: