Tempatan

IKTIRAF PELACURAN: KE MANA HALA TUJU WANITA MALAYSIA; JAHILIYYAH ATAU BERTAMADUN?

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

1. WANITA PEMBELA terpanggil untuk menzahirkan pendirian berkenaan ura-ura cadangan kebebasan dan hak asasi golongan “pekerja seks” wanita di Malaysia dan kedudukan golongan ini di bawah undang-undang negara.

2. WANITA PEMBELA ingin mengingatkan bahawa perbuatan persundalan dan semua yang berkaitan kegiatan persundalan adalah salah di bawah Kanun Keseksaan. Maka, ia merupakan perbuatan jenayah. Begitu juga, jika kegiatan tersebut terkait kepada wanita beragama Islam, Undang-Undang Jenayah Syariah mengenai pelacuran akan diambil tindakan tertentu.

3. WANITA PEMBELA turut ingin mengingatkan bagaimana indah pun perkataan yang dicipta untuk merujuk kepada kegiatan pelacuran atau persundalan seperti “pekerja seks” dan seumpamanya, tidak akan boleh membersihkan atau mengindahkan kegiatan tersebut atau lebih jelas lagi menghalalkannya. Semua tamadun kemanusiaan menolak kegiatan ini.

4. Sebagai perkumpulan wanita yang bergerak di bawah panji-panji PEMBELA dan maksud adab, adat dan pegangan agama Islam dan sebagai bangsa teras Malaysia, WANITA PEMBELA sedar dan awas akan panduan undang-undang negara dan keperluan agama Islam tentang menjaga kemuliaan dan kebajikan seorang wanita itu.

5. WANITA PEMBELA ingin merakamkan perasaan amat berdukacita dan terperanjat akan perkembangan terbaharu ini yang mana terdapat gerakan yang berusaha untuk menghalalkan “pekerjaan seks” di negara kita. Persoalannya, adakah ini suatu usaha untuk membawa taraf wanita kembali ke zaman jahiliyah? Mengapakah wanita mesti diperangkap dalam suasana yang menghinakan mereka melalui kegiatan sebagai pekerja seks? Apakah negara kita akan menghalalkan kegiatan menjual dan membeli tubuh kaum wanita sebagai punca ekonomi?

6. Oleh itu, WANITA PEMBELA ingin bertanya, ke manakah hala tuju wanita Malaysia hendak dibawa? Mahu dihurung kembali ke zaman jahiliyah atau ke arah kemuliaan dan kehormatan tinggi sebagai insan, ahli ibadah, ibu, anak, makcik, atau nenek? Apakah pekerjaan jual tubuh kaum wanita ini sebagai tanda kemajuan suatu ketamadunan?

7. Kami, WANITA PEMBELA mendesak, pihak kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan semua pemimpin-pemimpin wanita di semua peringkat Negeri mahupun Persekutuan, untuk memberikan perhatian dan respons berkenaan isu ini.

8. Kami, WANITA PEMBELA turut menyeru pihak kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan semua pemimpin-pemimpin wanita di semua peringkat Negeri mahupun Persekutuan,di peringkat kolar biru mahupun kolar putih, di peringkat sivil mahupun agama, di peringkat T20 dan elitis mahupun marhaen sama-sama gemblengkan tekad dan niat supaya menidakkan gerakan yang dibuat ini demi memelihara dan menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan kaum wanita termasuklah keluarga mereka dan kita.

9. Negara kita adalah negara berpaksikan kepada Rukunegara, undang-undang Perlembagaan dan adat budaya Nusantara maka, dan kita semua harus berpegang kepada landasan tersebut. WANITA PEMBELA mendokong sepenuhnya nilai-nilai kemurniaan budaya tempatan kita bersandarkan agama Islam cara hidup kita dan menolak setegas-tegasnya sebarang bentuk cara hidup yang di luar batasan prinsip budaya dan agama Islam.

Sekian.

Puan Azlinda binti Baroni

Ketua WANITA PEMBELA

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button