Tempatan

Iktiraf Pelacur: Nak Jadikan Malaysia Seperti Thailand? – Cikgu Ahmad Hafidz (SAHABAT Gerik)

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Gerik, 13 April 2021 – “Semua agama dalam negara kita menolak isu pelacuran. Dan Dr Madeline Berma seolah-olah ingin menghalalkan perkara ini dengan cara menukarkan pelacuran itu kepada pekerja seks. Adakah kita nak jadikan negara kita ini seperti negara Thailand yang menghalalkan industri pelacuran?” persoal Pengerusi SAHABAT Gerik, Cikgu Ahmad Hafidz.

Menyifatkan cadangan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Dato’ Dr Madeline Berma agar pelacur diberikan hak asasi sebagai melanggar Perlembagaan, Cikgu Hafidz juga kecewa dengan cadangan yang dilihat sebagai cubaan membawa masuk jarum halus yang cuba meruntuhkan nilai agama rakyat Malaysia, terutamanya nilai agama Islam.

“Saya sangat terkejut dan juga rasa kecewa dengan pembentangan kertas kerja yang dibuat oleh Dato’ Dr Madeline Berma yang kita nampak seolah-olah ianya ingin melanggar Perlembagaan negara kita yang jelas. Kalau kita lihat dalam peruntukan selain daripada Islam Agama Negara dan paling penting dalam isu ini, Dr Madeline Berma cuba untuk membawa acuan hak asasi daripada luar negara tanpa mengambil kira norma-norma tempatan.”

“Pada saya memang jelas dia tidak menghormati Perlembagaan dan jarum halus yang nak bawa rakyat ini menerima normalisasi nilai kehidupan Barat yang jauh daripada nilai agama dan nilai norma yang telah sedia ada dalam negara ini.”

Oleh itu, Cikgu Hafidz menyeru masyarakat dan NGO-NGO Islam agar bangkit menentang dan menghalang nilai hak asasi yang bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia dan nilai-nilai kehidupan norma masyarakat majmuk dalam negara daripada menceroboh masuk.

“Saya menyeru masyarakat dari luar sana, NGO-NGO di luar sana bangkit bersama-sama untuk memberi kesedaran kepada masyarakat yang sedang lena tidur sedangkan tangan-tangan mereka ini sedang bergerak. Kita sebagai orang Islam seolah-olah selesa dengan keadaan yang ada.”

“NGO-NGO Melayu-Islam perlu untuk bangkit sama-sama menyedarkan masyarakat supaya mereka alert dengan isu-isu pencerobohan dari segi nilai-nilai kehidupan beragama dan nilai-nilai kehidupan norma masyarakat majmuk dalam negara.”

Susulan isu ini, Cikgu Hafidz mencadangkan dan menuntut dua perkara.

“Pertama sekali, saya sebagai Pengerusi Sahabat Gerik, mewakili suara di Hulu Perak, kami dengan jelas ingin menyatakan, kami mendesak agar Dr Madeline Berma perlu meletak jawatan atas percubaan beliau untuk melanggar Perlembagaan yang telah ada. Atas keterlanjuran beliau mencadangkan pelacuran diiktiraf.”

“Yang kedua cadangan saya ialah, Pesuruhjaya SUHAKAM yang akan dilantik selepas ini perlulah diteliti oleh kerajaan. Kerajaan perlu meneliti agar corak pemikiran orang yang nak dilantik dalam Pesuruhjaya SUHAKAM ini adalah menepati selari dengan hak-hak asasi yang telah dipersetujui oleh semua agama dan yang penting sekali agama Islam sebagai agama rasmi. Dalam Islam dan juga agama-agama lain ada hak asasi. Jadi kita perlu mengikut acuan agama. Tak boleh lari daripada acuan agama. Bukan cedok sepenuhnya acuan hak asasi daripada negara Barat.”

Dato’ Dr Madeline Berma sebelum ini membentangkan satu kertas kerja mencadangkan agar pekerja seks diberikan hak asasi di Malaysia supaya mereka tidak lagi didiskriminasi.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button