Tempatan

JAINJ Pergiat Pantau Ajaran Sesat Di Ulu Tiram

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ISKANDAR PUTERI, 20 Mei 2024 – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan meningkatkan pemantauan terhadap dakwaan penyebaran ajaran sesat di Ulu Tiram, Johor Bahru.

Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, menyatakan langkah tersebut dilakukan bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara di negeri berkenaan.

“Kita akan bagi tumpuan tambahan (di Ulu Tiram), tapi tidak bermaksud di lokasi lain kita kurangkan pemantauan,” kata beliau di Kota Iskandar Puteri, semalam apabila diminta oleh pemberita untuk mengulas mengenai tindakan Kerajaan Negeri dalam membendung ajaran sesat di Johor.

Beliau menyatakan bahawa sehingga kini, Jawatankuasa Khas JAINJ dan Jabatan Mufti Negeri Johor sentiasa memantau laporan mengenai ajaran sesat di negeri ini dari pelbagai pihak.

“Memang ada jawatankuasa khas untuk memantau ajaran sesat melibatkan dua jabatan ini, semua keputusan akan dibawa kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor,” ujarnya.

Mengulas lanjut, setiap laporan yang diterima juga akan disiasat dan disemak sebelum diputuskan sama ada ajaran terbabit songsang atau tidak.

Sewaktu ditanya mengenai bilangan madrasah yang terletak di kawasan Ulu Tiram, beliau menyatakan bahawa terdapat empat madrasah yang beroperasi di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, Madrasah Abu Ayyub Al-Ansari dan Maahad Tahfiz Riyadhus Solihin berdaftar, manakala Maahad Tahfiz Ar-Rayyan dan Madrasah Al Quran Al Irsyad Sungai Tiram belum memperbaharui pendaftaran,” jelas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: