Tempatan

Air Itam Bakal Hadapi Gangguan Air Khamis Depan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGE TOWN, 17 Disember 2023 – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan notis gangguan bekalan air berjadual pada Khamis depan bagi kira-kira 9,000 pengguna air di sekitar Lebuhraya Thean Teik dan kawasan berdekatan Air Itam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Pathmanathan berkata, gangguan itu akan bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam disebabkan penyambungan saluran paip bekalan air yang dialihkan untuk memudahkan projek Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Jejambat Air Itam.

“Kerja-kerja penyambungan saluran paip bekalan air yang dialihkan akan dijalankan pada hari Khamis depan di lima tempat di dua lokasi berhampiran iaitu persimpangan Lebuhraya Thean Teik/Lintang Angsana; dan Persimpangan Lebuhraya Thean Teik/pasar Farlim.”

”Kerja-kerja penyambungan ini adalah terkait dengan pembinaan projek Jejantas Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah BPEN (Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri),” maklumnya menerusi kenyataan media.

Menurutnya, bagi memudahkan kerja-kerja penyambungan paip, PBAPP perlu menutup sementara saluran paip 600mm MS (keluli lembut) di kawasan itu.

”Penutupan saluran paip 600mm ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam di sepanjang Lebuhraya Thean Teik dan kawasan berdekatan di Air Itam,” katanya.

Pihaknya juga menasihati orang ramai supaya menyimpan bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan 24 jam.

“PBAPP memohon maaf atas kesulitan yang akan berlaku akibat gangguan bekalan air berjadual ini.”

“Semua pengguna yang terjejas digalakkan menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan dari pukul 9 pagi hingga 9 malam pada Khamis depan,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: