Bekalan Air Di 188 Kawasan Kembali Pulih
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SELANGOR, 11 Ogos 2022 – Status gangguan bekalan air susulan dari kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air Sungai Rasa bermula 9 Ogos lalu yang melibatkan 188 kawasan di Wilayah Hulu Selangor kini kembali pulih jam 3:00 pagi hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dalam memberikan kerjasama yang baik sepanjang kerja-kerja tersebut dijalankan.
“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.”
Samudera.my sebelum ini melaporkan 188 kawasan di Wilayah Hulu Selangor yang disenaraikan terlibat dengan isu gangguan bekalan air ini.
Air Selangor memaklumkan, perkara tersebut telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.
Seorang pengguna laman sosial Facebook membuat satu hantaran di ruangan komen dengan berkata; “Lain daripada lain… sebagai pengguna bekalan Air Selangor, amat berterima kasih kepada pengurusan dan semua kakitangan yang membuat kerja bagus @ BTP… TERBAIK..AIR SELANGOR..”