Tempatan

Melaka, Negeri Punyai Tapak Pelupusan Sampah Haram Tertinggi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MELAKA, 18 Disember 2023 – Melaka mencatatkan jumlah tapak pelupusan sampah haram paling banyak iaitu sebanyak 608 tapak dikenal pasti sejak Januari sehingga September lalu.

Secara terperinci, di Melaka Tengah mempunyai 214 tapak pelupusan sampah haram, Hang Tuah Jaya (135), Alor Gajah (112), manakala Jasin merekodkan jumlah sebanyak 147.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, terdapat dua pihak iaitu individu dan berkumpulan yang menjadi dalang kepada wujudnya tapak pelupusan sampah haram yang mencemarkan alam sekitar ini.

“Pihak individu merupakan orang perseorangan yang mementingkan diri kerana mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesan buruk kepada orang lain atau alam sekitar. Kebiasaannya mereka (individu) tiada sebarang kepentingan dari segi ekonomi atau keuntungan.”

“Berbeza dengan berkumpulan atau pengusaha kontraktor yang mana mereka hanya mementingkan keuntungan perniagaan dengan meminimumkan kos pengurusan sisa pepejal yang betul. Pelbagai jenis sisa yang sering dibuang tetapi yang kerap dan berskala besar adalah sisa binaan dan sisa pukal,” katanya.

Jelasnya, kegiatan ini berlaku kerana pihak tidak bertanggungjawab ingin mengurangkan kos bayaran masuk ke tapak pelupusan yang diwartakan selain mahu menjimatkan masa, tenaga dan kos penghantaran ke tapak pelupusan yang ditempatkan jauh daripada kawasan pembangunan.

Mengulas lanjut, tapak sampah haram sekiranya tidak dibasmi akan berlakunya pencemaran air di bawah tanah disebabkan oleh air larut resap (leachate).

“Air leachate akan masuk ke dalam tanah dan seterusnya terus ke sumber air di bawah tanah. Apabila tercemar, kaedah perawatan air minuman oleh syarikat air tidak dapat dilakukan untuk membekalkan air yang benar-benar bersih kepada pengguna.”

“Selain itu, pencemaran udara turut berlaku disebabkan oleh pembakaran terbuka dan bau sampah yang terhasil. Ini menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk yang berhampiran. Daripada dua jenis pencemaran ini, pelbagai penyakit boleh berlaku seperti masalah kulit dan sistem pernafasan terhadap manusia,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: