Gangguan Bekalan Air Di Pulau Pangkor Dijangka Pulih Bulan Depan
IPOH, 14 Februari 2024 – Lembaga Air Perak (LAP) memberi jaminan gangguan bekalan air di Pulau Pangkor sejak Jumaat lalu akan kembali pulih sepenuhnya pada Mac ini, sebelum Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, LAP sedang giat melakukan kerja-kerja mengesan kebocoran pada paip utama rentas dasar laut ke pulau itu.
Menurutnya, kebocoran yang dikesan pada salah satu daripada tiga saluran paip utama rentas dasar laut di sepanjang 3.5 kilometer (KM) dipercayai menjadi punca tekanan air rendah ke pulau peranginan terkenal tersebut.
“Saya mohon maaf dan minta orang-orang di Pangkor agar bersabar sedikit.”
“Kita beri kesempatan kepada LAP untuk meneruskan kerja mereka membaiki keseluruhan paip utama. Kita akan lakukan secepat mungkin dan beri jaminan sebelum Ramadan bermula, air ada dan bekalan mencukupi di semua tempat,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Selasa.
Jelasnya, kerja-kerja pembaikan telah pun dilakukan sejak 5 Februari lalu, namun tekanan air masih belum naik sehingga semalam.
“Kita syak memang ada berlaku lagi kebocoran sama ada di dua paip lain atau paip yang sama. Kita sedang meneliti perkara itu dan kerja pembaikan akan segera dilaksanakan sekiranya didapati terdapat kebocoran yang dikesan dan disahkan lokasinya,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati penduduk terpaksa meletakkan baldi, besen serta tong di hadapan rumah bagi mendapatkan air dan ada berlaku pertelingkahan kerana berebut air dari lori tangki.
Malah gangguan bekalan air ini juga didakwa telah memberi kesan kepada kedatangan pelancongan di Pulau Pangkor sekaligus memberi kerugian kepada pengusaha-pengusaha perhotelan.