Tempatan

Rusuhan Sg Besi: Kepung Baru Serah Diri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR: 20 lagi individu ditahan oleh polis susulan rusuhan di depan tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi pada 28 September 2021.

Ini menjadikan keseluruhan tangkapan kepada 24 orang selepas empat lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan pada hari kejadian dan direman dua hari berakhir semalam, maklum Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.

Dalam operasi pada hari Khamis itu, polis terpaksa mengepung tokong berkenaan untuk melakukan tangkapan sebelum 18 individu menyerah diri.

“Pada jam 1.30 pagi semalam, kita mengepung kawasan kejadian untuk membuat tangkapan. Pihak tokong menyerah diri dan menyerahkan surat permohonan maaf kepada polis. Berikutan itu, kita menahan 12 lelaki dan enam wanita.”

“Kita juga menahan dua lelaki pada jam 8.30 malam kelmarin bagi membantu siasatan. Daripada semua tahanan hari ini dan semalam, dua sudah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor usia.”

“Permohonan reman dibuat ke atas baki 18 suspek dan hanya 10 direman sehari,” tambahnya.

Katanya lagi, kertas siasatan yang lengkap sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

Turut dicadangkan pertuduhan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, berikutan suspek melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di tempat awam.

Selasa lalu, sekumpulan bangsa Cina yang membawa kayu dan besi telah menghalang operasi dijalankan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) untuk membina pagar penghadang ‘Hoarding’, bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

Kumpulan ini, bukan sahaja menghalang dan memecahkan mesin jentolak, malah menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.
Satu rakaman video berkaitan isu ini juga dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

Pihak polis Daerah Cheras kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan rasmi menegaskan tiada sebarang tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button