Memperkasa Hasil Tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah Ke Arah Kemakmuran Dan Kestabilan Negara
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Minggu lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan mahabbah di Sri Perdana bersama asatizah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan pendekatan itu mendapat dokongan daripada pelbagai lapisan pendakwah yang memegang Manhaj ASWJ Asyairah wal Maturidiyah di negara ini.
Penulis berpeluang menyampaikan sedikit ucapan kerana masa yang diberikan agak terhad.
Ucapan serta pandangan penulis ketika majlis pertemuan mahabbah itu adalah hasil usaha dan inisiatif Perdana Menteri dan perlu dicontohi dalam mengukuhkan kefahaman Islam sebenar.
Di bawah ini adalah ucapan penulis yang penuh dan lengkap.
Kefahaman dan penghayatan Islam adalah seumpama hasil kain tenunan. Jika melihat kepada analogi tenunan ini, kualiti tenunan yang asli terhasil daripada gabungan jurutenun yang mahir menggunakan fabrik dari benang yang bermutu.
Tenunan yang asli lagi berkualiti terbukti berkekalan lama, menarik pandangan mata serta menjadi sebutan dan ikutan orang ramai.
Islam yang berkualiti tinggi juga terhasil daripada tenunan kemahiran tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunannya dimanifestasikan oleh ratusan ulamanya yang tersohor, ribuan kitabnya yang muktabar serta jutaan umatnya yang terus menyebut dan mengikutnya sejak 1,400 tahun yang lalu sehingga ke saat ini.
Dalam konteks ini, umat Melayu Islam di tanah air kita tanpa diduga telah dianugerahkan keistimewaan yang tidak disangka dalam sejarah mereka dengan dipakaikan hasil tenunan tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan Islam yang asli dan berkualiti tinggi dengan nama Tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah bukannya sekadar Ahli Sunnah palsu semata-mata seperti yang cuba dikelirukan oleh segelintir pihak hari ini.
Tenunan Islam di Malaysia ini lahir dari Tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah di Kepulauan Melayu Nusantara yang dihasilkan daripada fabrik dan jalur-jalur benang bermutu akidah Asha’irah, fekah Shafi’iyyah dan tasawuf Ghazzaliyyah sejak lebih 500-600 tahun yang lalu bukan sahaja telah mentransformasikan sifat zahiriyyah dan jasmaniyyah umat Melayu malah lebih penting telah merevolusikan sifat batiniyyah dan ruhaniyyah mereka.
Hasil pengenalan kepada akidah Asha’irah, umat Melayu mengenal hakikat kewujudan yang pelbagai dari yang hakiki sehingga yang majazi.
Menerusi fekah Shafi’iyyah, umat Melayu memahami sifat dan kategori amal-perbuatan daripada yang wajib di sisi agama sebagai bukti pengabdian sehingga yang sekadar adat kebiasaan masyarakat.
Begitu juga halnya dengan tasawuf Ghazzaliyyah, umat Melayu menghayati nilai dan ahlak kehidupan yang tinggi dengan dialektika sifat mahmudah dan mazmumah yang mereka lalui selagi hayat dikandung badan.
Hasil tenunan Islam Ahli Sunnah wal Jamaah jalinan akidah Asha’irah, fekah Shafi’iyyah dan tasawuf Ghazzaliyyah yang membentuk visi dan wawasan semasa sebagai Naratif Islam Alam Melayu ini bagi mendepani pergelutan dan pertempuran antara naratif-naratif Islam dan bukan Islam ketika ini jika ingin dibandingkan dengan gembar-gembur apa yang disebutkan naratif Ahli Sunnah palsu semata-mata itu jelas sangat menjolok mata hati orang yang mengetahui sejarah kedua-dua naratif ini.
Bila kita berbicara tentang sebuah naratif yang telah lama berakar, menjadi pokok dan menghasilkan buah untuk kehidupan individu dan kolektif umat Alam Melayu, naratif Ahli Sunnah semata-mata bukan tandingan naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah Asha’irah, Shafi’iyyah dan Ghazzaliyyah.
Untuk sekian lamanya naratif Islam Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah telah membina dan mencorakkan bukan sahaja pandangan dan pengalaman Islam umat Melayu malah telah mengatur dan menginstitusikan kegiatan-kegiatan politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan umat Melayu.
Dalam istilah pemikiran dan peradaban, kita sebut naratif Islam Nusantara Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah telah mengemukakan keperluan-keperluan ilmiah bertahap tinggi seperti Ontologi melalui Asha’irah dengan faham kewujudan, Praksiologi melalui Shafi’iyyah dengan faham amal perbuatan dan Aksiologi melalui Ghazzaliyyah dengan faham nilai dan kemuliaan insan.
Kesemuanya ini terbina atas faham ilmu atau Epistemologi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang memaknakan Ontologi, Praksiologi dan Aksiologi kehidupan manusia sebagai ‘Kehidupan yang Rasional’.
Umat Islam ketika ini terutamanya umat Melayu di Malaysia perlu menginsafi dan menyedari cabaran sebenar kehidupan mereka lebih-lebih lagi bila kita menyaksikan depan mata kepala kita tentang nasib kaum Muslimin di wilayah geografi lain khususnya di Negara-Negara Arab Timur Tengah dan Afrika Utara, Benua Indo-Pakistan-Bangladesh juga keadaan umat Islam di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.
Cabaran hakiki umat Islam sebenarnya ialah mendepani cabaran dan serangan pemikiran dan peradaban, idea dan juga nilai sains, teknologi dan organisasi politik, ekonomi dan sosial mereka.
Ketika dunia pemikiran dan peradaban Barat sejak sekian lama tanpa henti-henti ingin melemahkan dan menjatuhkan kekuatan umat Islam, umat Islam masih lagi berpolemik tentang halal haram, bida’ah dan kesesatan sesama mereka.
Gagasan dan wawasan naratif Islam Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah dengan segala penambahbaikkannya sesuai dengan perubahan zaman dan lingkungan sudah mencukupi bagi umat Islam di Malaysia dalam menyediakan kita untuk menghadapi cabaran pemikiran dan peradaban Barat semasa.
Umat Islam di Malaysia wajiblah menginsafi dan menyedari ketikamana umat dunia pemikiran dan peradaban Barat telah dan sedang memanfaatkan segala potensi akal sebagai anugerah teristimewa untuk insan/manusia, umat Islam masih lagi berpolemik dan berbalah sama ada akal boleh atau tidak untuk memahami agama!
Naratif Islam Nusantara tenunan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan benang-benang Asha’irah-Shafi’iyyah-Ghazzaliyyah jelas sekali telah merumuskan perkara pengunaan akal ini dengan mengharmonikan antara keduanya akal dan naqal atau wahyu dan pemikiran.
Dalam soal memanfaatkan warisan keilmuan dari mana juga mereka berasal juga merupakan tradisi amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang masih sukar untuk diterima oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai Ahli Sunnah palsu sahaja ini.
Membina pandangan dan pengalaman Islam, mengatur kehidupan politik, ekonomi dan sosial umat, membina institusi pendidikan dan kebudayaan dan akhirnya melahirkan sebuah peradaban besar yang berkekalan bukanlah boleh dibuat dalam tempoh yang sekejap.
Tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan segala kepelbagaian dan ciri-ciri inklusif dan keterbukaannya telah lebih 1400 berperanan meneruskan kesinambungan peradaban umat Islam. Faham atau aliran Ahli Sunnah palsu semata-mata ini yang berusia dalam lingkungan 100—200 tahun ini belum memberikan apa-apa yang bermakna bagi umat dalam tradisi keilmuan, keruhanian dan ketamadunan mereka.
Malah pecahan-pecahan dari golongan Ahli Sunnah ini seperti Taliban, Al-Qaeda, ISIS, Salafi Jihadi, Salafi Wahabi dan segala macam itu jelas tidak membina apa-apa yang boleh dikatakan sebagai tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan malah kemusnahan dan penderitaan untuk umat Islam dan bukan Islam.
Jika umat Islam di Malaysia ingin memulakan cara bagaimana untuk menghadapi cabaran ilmu dan pemikiran serta kehidupan dan peradaban Barat yang sebenar-benar cabaran bagi mereka, mereka mesti tidak menyibukkan diri dengan soal-soal membida’ah, mensyirik dan mengkafirkan orang lain Islam dan bukan Islam. Ini adalah zaman pertembungan pemikiran atau naratif akidah antara umat Islam melawan syubhat dan kekeliruan pemikiran dan naratif Atheis, Agnostik dan Anarkis bukan zaman polemik remeh-temeh tentang hadis sahih membaca qunut, yasin, tahlil, talqin dan doa!
Ustaz Yunan Abdul Samad
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami)
*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*