TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA PAHANG MENGENAI PELAKSANAAN SOLAT HAJAT DAN DOA SELAMAT UNTUK PALESTIN
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan rejim Zionis Israel yang telah melakukan pencerobohan dan menyerang Masjid Al-Aqsa serta Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak telah terkorban dan cedera. Baginda menyifatkan serangan tersebut sebagai perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Selanjutnya, sebagai tanda sokongan kepada Palestin, Baginda telah menitahkan perkara-perkara berikut :
i) Semua masjid dan surau di Negeri Pahang Darul Makmur dapat mengadakan solat sunat hajat serta doa selamat selepas Solat Fardu Maghrib pada 17 Mei 2021 bagi sama-sama mendoakan agar Allah Subhanahu Wataa’ala melindungi dan memberi kesejahteraan buat rakyat Palestin.
ii) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga menyeru pelaksanaan Solat Hajat dan Doa Selamat tersebut di kediaman masing-masing bagi rakyat yang tidak berkesempatan ke masjid dan surau kerana had jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Baginda turut menyeru kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.
Baginda berharap isu pencerobohan dan peperangan ini dapat dihentikan dengan segera dan Baginda turut menzahirkan sokongan terhadap Kenyataan Media Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah dikeluarkan oleh Istana Negara pada 16 Mei 2021 agar Kerajaan Malaysia menerajui dan bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Zionis Israel ke atas Palestin.
Sekian.
Saya yang menjunjung titah,
Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Bin Ab Rahman, DSAP., DIMP., SAP., AAP.
PENGELOLA BIJAYA DIRAJA KDYMM SULTAN PAHANG