Dibelasah Kerana Berpuasa: PEMBELA Persoal Di Mana SUHAKAM
Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 15 April 2021 – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Hj Aminuddin Yahaya mempersoalkan kebisuan SUHAKAM dalam isu hak pekerja yang diugut bunuh kerana berpuasa.
“Tidak benar solat, tidak benar pakai tudung dan seumpamanya sudah terlalu banyak sehingga kadang-kadang sesuatu yang diterima kerana keterdesakan manusia mahu mendapatkan pendapatan,” katanya.
Oleh itu, Aminuddin menyeru agar mana-mana rakyat Malaysia yang tertindas di tempat kerja khususnya dinafikan hak beribadat dan beragama seperti solat, berpuasa dan menutup aurat untuk membuat laporan polis.
Senada dalam kes ini, Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) juga buat kesekian kalinya menggesa agar satu pindaan menyeluruh dilakukan terhadap Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265) bagi memastikan pekerja tidak didiskriminasikan atas dasar agama dan bangsa.
“MACSA menuntut agar kerajaan dengan segera menangani isu Islamofobia dengan memberi takrifan dan menjadikan Islamofobia satu jenayah bagi melindungi dan membantu umat Islam di Malaysia yang mengalami tekanan dan menderita kerana kebencian dan prejudis sesetengah pihak terhadap Islam,” kata Pengerusi MACSA, Lukman Sheriff dan Pengerusi Bersama MACSA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Baru-baru ini, masyarakat digemparkan dengan berita seorang pengawal peribadi bersama rakannya dibelasah serta diacukan pistol oleh majikan mereka selepas mereka didapati menunaikan kewajipan berpuasa.
Pihak polis telah menahan empat individu berkaitan kes itu di mana salah seorangnya merupakan ahli perniagaan.