Malaysia Negara Top 4 Tangani Kehilangan Hutan
PUTRAJAYA, 03 Julai 2023 – Malaysia disenarai antara 10 negara teratas menangani pengurangan kehilangan hutan utama 2022, berdasarkan laporan terbaru World Resources Institute Global Forest Watch dan University of Maryland mengenai isu penebangan hutan secara global.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan perkembangan positif yang dinyatakan dalam laporan tersebut.
BACA JUGA: Insiden Bakar Al-Quran Di Sweden: PAS Gesa Malaysia Bertindak Lebih Tegas
BACA JUGA: Tragedi Kepala Air Kemaman: Identiti 8 Individu Dikenal Pasti
BACA JUGA: Tindakan Tegas Perlu Diambil Siasat Insiden Tular VIP Buat Kecoh Di KLIA – CUEPACS
Secara keseluruhannya, Malaysia berada pada kedudukan keempat dalam mengurangkan kehilangan hutan utamanya sebanyak 57 peratus pada 2022.
“Pencapaian ini disebabkan oleh beberapa inisiatif, termasuk penguatkuasaan yang lebih ketat, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang semakin disebar luas dan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk inisiatif Pemuliharaan Biodiversiti.”
“Ini yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan ketika ini, dan tindakan proaktif pelbagai Kerajaan Negeri dalam melindungi hutan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992, Malaysia menyatakan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara supaya dilitupi pokok dan kawasan berhutan.
“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan komitmen tersebut di mana kawasan berhutan adalah seluas 18.05 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara,” katanya.
Selain itu, Laporan Penilaian Sumber Hutan Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2020 menyenaraikan Malaysia sebagai salah satu di kalangan 25 negara membangun diiktiraf sebagai negara Hutan Tinggi, Penebangan Hutan Rendah.
Namun katanya, NRECC sedar bahawa Malaysia tidak boleh leka dan banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan kehilangan hutan utama negara dihentikan sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Oleh itu, NRECC akan terus melaksanakan beberapa inisiatif, termasuk memperkasakan perundangan seperti Akta Perhutanan Negara 1984, meningkatkan usaha untuk mewartakan kawasan hutan termasuk di kawasan Central Forest Spine dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar, meningkatkan peruntukan EFT pada 2023 kepada RM150 juta (peningkatan sebanyak 150 peratus sejak pelaksanaannya pada tahun 2019) dan pelbagai usaha lain ke arah peningkatan pemuliharaan hutan negara,” katanya lagi.