Tempatan

DUPP Gesa Batal Konsert Artis Pro-LGBT Di Ambang Ramadan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Februari 2024 – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan supaya mengambil sikap tegas dengan membatalkan sebuah konsert seorang artis Barat ketika umat Islam di ambang Ramadan.

Ketua DUPP, YB Dato’ Ustaz Haji Ahmad Bin Yahaya dalam satu kenyataan berkata, lebih mendukacitakan adalah bukan sahaja penganjuran konsert yang akan mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang semakin hampir, bahkan artis diundang itu juga berlatarbelakangkan ideologi LGBT yang ditolak tegas oleh Malaysia.

“DUPP telah menegaskan berulang kali bahawa seharusnya artis Barat yang mendukung kumpulan LGBT tidak sesekali dibenarkan untuk membuat persembahan dalam negara.”

“Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) seharusnya meletakkan syarat yang lebih ketat bagi memastikan tiada unsur LGBT meresap masuk ke dalam negara daripada artis luar negara.”

“Apakah kita masih belum sedar dengan tragedi menjijikkan oleh sebuah kumpulan pro-LGBT The 1975 yang telah melakukan adegan kurang sopan di hadapan ribuan penonton selain menghina pendirian negara menolak ideologi berkenaan?”

“Di mana maruah negara ketika mereka menghina pendirian kita menolak fahaman songsang mereka?”

“Apatah lagi persembahan berkenaan dijadualkan ketika umat Islam dalam negara dalam persiapan menyambut kedatangan Ramadan yang mulia. Apakah kita semakin terhakis rasa sensitif terhadap hal ehwal agama?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, DUPP menggesa pihak kerajaan agar tidak sesekali membenarkan persembahan mana-mana artis Barat pro-LGBT selain menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

Tegas beliau, pihak penganjur juga seharusnya akur dan menerima teguran yang diberikan oleh Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Wan Salim berhubung isu tersebut dan tidak berdolak dalik dengan alasan yang tidak munasabah.

Sebelum ini, Datuk Seri Dr Wan Salim menggesa pihak kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi supaya membatal segera kebenaran mengadakan konsert berkenaan selain turut menyeru umat Islam di negara ini supaya memulau konsert tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: