Kerajaan Tegaskan Malaysia Tak Iktiraf LGBT
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 08 Oktober 2021 – “Malaysia kekal dengan prinsip untuk tidak mengiktiraf gender ketiga, sama seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” tegas Senator Idris Ahmad seperti dipetik dalam portal Sinar Harian.
Ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, tindakan ini selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan prinsip keagamaan dan nilai-nilai budaya tempatan.
“Sepertimana Malaysia menolak LGBT begitulah juga Malaysia tidak akan mengiktiraf gender ketiga kerana ia bertentangan dengan fitrah dan syariat Islam.”
Ujar beliau lagi, pendirian ini juga selari dengan ‘Cairo Declaration on Human Rights in Islam’ yang menyatakan, segala perkara yang bercanggah dengan syariah Islam tidak boleh diamalkan di sesebuah negara Islam.
Jun lalu, Malaysia dikejutkan dengan pencarian penyelidik untuk kajian jantina ketiga oleh SUHAKAM.
Berikutan itu, JAKIM, NGO-NGO seperti MACSA, UMMAH, dan parti-parti politik bangkit membantah perkara ini.