Kaum LGBT Semakin Terancam Bawah Perikatan Nasional – Kumpulan Aktivis
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 18 November 2021 – Kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semakin berdepan dengan ancaman dan diskriminasi bawah pentadbiran UMNO, PAS dan Bersatu ketika ini, dedah kumpulan hak asasi manusia dalam temuramah dengan portal The Malaysian Insight.
Pejuang hak LGBT terkemuka, Nisha Ayub mendakwa PAS, salah satu komponen Perikatan Nasional, mempunyai agenda sendiri untuk melaksanakan perundangan syariah yang ketat di Malaysia.
“Saya percaya PAS hanya menggunakan isu LGBTQ untuk mendesak agenda mereka sendiri seperti melaksanakan undang-undang syariah yang lebih ketat dan mendapatkan lebih banyak kuasa.
“Mereka bukannya begitu mengambil berat tentang isu LGBTQ, ia hanya memudahkan untuk memperjuangkan agenda tersembunyi mereka,” katanya.
Nisha Ayub juga khuatir akan perlindungan serta keselamatan kumpulan LGBT dalam masyarakat. Beliau memetik kisah pendakwaan terhadap Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat sebagai contoh ancaman yang dihadapi oleh kaum LGBT.
Menurut aktivis yang telah menerima anugerah pingat “Wanita Berani” oleh Kerajaan Amerika Syarikat itu lagi, layanan pihak kerajaan terhadap Sajat memberi gambaran buruk kepada negara luar bahawa Malaysia tidak hormat akan hak asasi manusia.
Thilaga Sulathireh, pengasas bersama kumpulan Justice for Sisters mendakwa keadaan semakin teruk memandangkan pemimpin PAS memegang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Agama, dan mereka berulang-kali telah melobi untuk meningkatkan tindakan terhadap kaum LGBT.
Antaranya adalah pengumuman Timbalan Menteri Agama bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk melarang golongan yang mengenakan pakaian berlainan jantina dari memasuki masjid sepertimana yang telah diputuskan oleh Perlis.