Tempatan

41 Rangka Manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah Akan Dibawa Pulang Ke Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 31 Mac 2023 – Sebanyak 41 rangka manusia Tapak Arkeologi Guar Kepah, Pulau Pinang akan dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2024.

Siaran media Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendedahkan bahawa Tapak Arkeologi Guar Kepah merupakan tapak arkeologi pertama di Malaysia yang telah dikaji oleh pengkaji barat.

Kesemua jumpaan di tapak tersebut dihantar ke luar negara termasuk 41 rangka manusia yang disimpan di Naturalis Biodiversity Centre (NBC), Leiden, Belanda.

Kini Kerajaan Belanda mengambil alih rangka berkenaan dan menyimpannya di Collection Centre Netherlands (CCNL), Amersfoort, Belanda.

Menurut MOTAC, selepas Malaysia menerima khazanah warisan itu, ia akan disimpan dan dipamerkan di Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang masih dalam proses pembangunan.

Memetik kenyataan tersebut, “Usaha untuk mengembalikan rangka-rangka ini telah diselaraskan oleh pihak Jabatan Warisan Negara setelah menerima permohonan rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang.”

BACA JUGA: Ikan Buntal Bertoksin, Dilarang Jualan – KP Kesihatan

BACA JUGA: Depresi Dikalangan Kakitangan Polis, Meragut 2 Nyawa Sejak Jan 2023 – Menteri

BACA JUGA: Isu ‘Ayam Tebuk’: Syarikat Ada Sijil Halal, Tiada Ayam Disembelih Tanpa Ikut Syarak – KPDN

Sesi mesyuarat telah dilaksanakan antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MOTAC, Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Susulan itu, KLN mengutus Nota Diplomatik kepada Kedutaan Besar Belanda di Malaysia pada Ogos 2022 untuk menyampaikan hasrat memohon membawa pulang 41 rangka manusia dari Belanda.

Setelah mesyuarat bersama Kedutaan Besar Belanda di Malaysia diadakan, Kerajaan Belanda memulakan proses perundangan untuk memulangkan khazanah warisan negara itu.

Pada 22 Mac 2023, satu majlis simbolik membuka kotak yang mengandungi rangka-rangka berkenaan telah dilaksanakan di Kementerian Pelajaran, Kebudayaan dan Sains Belanda, The Hague, dihadiri oleh TYT Dato’ Nadzirah binti Osman, Duta Besar Malaysia ke Belanda serta delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh P. Ramasamy A/L Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang.

Selain majlis tersebut, Kerajaan Belanda turut menyerahkan surat persetujuan untuk mengembalikan bahagian-bahagian rangka itu kepada Kerajaan Malaysia.

Tambah MOTAC, pemulangan artifak dan jumpaan-jumpaan luar adalah selaras dengan dasar Kerajaan Negara Belanda menyerahkan semula artifak dan jumpaan kepada negara asal mengikut syarat dan penilaian yang ditetapkan negara tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut, “Dengan kembalinya rangka-rangka ke tapak asal ia dijumpai, galeri dan tapak Arkeologi Guar Kepah bakal menjadi salah satu produk arkeopelancongan utama negara selain menjadi pusat interpretasi untuk menyampaikan informasi mengenai salah satu warisan arkeologi Malaysia kepada orang ramai.”

Mengulas lanjut, MOTAC berharap agar Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah akan menjadi produk pelancongan yang mesti dilawati sempena Tahun Melawat Malaysia 2025.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: