Tempatan

Tragedi Wang Kelian: 138 Maut, RCI Gesa Tingkatkan Kawalan Sempadan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2022 – “Anggota yang ditempatkan tidak mencukupi, ditambah kekurangan peralatan dan kelengkapan terutama kenderaan bagi tujuan rondaan.”

“Pagar dan tembok sempadan pula dibina tidak menyeluruh di mana terdapat kawasan sempadan yang terbuka, dan aset tidak diselenggara dengan baik,” dedah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Menurut sebuah portal tempatan, laporan itu merumuskan bahawa kematian 138 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terbongkar menerusi penemuan kem dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis pada 2015 boleh dielakkan sekiranya sempadan negara dikawal dengan baik.

Tambah laporan itu, sempadan darat Malaysia-Thailand antara Wang Kelian hingga ke Bukit Kayu Hitam mudah dibolosi walaupun ada pagar keselamatan, tembok, pos kawalan serta jalan keselamatan di sempadan terbabit.

“Rondaan tidak mencukupi, pagar kawat duri mudah dipotong, ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di sempadan Wang Kelian, pagar tidak disenggara dan tiada penduduk di kawasan sempadan Malaysia boleh bertindak sebagai pemberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan.”

“Selain itu, CCTV hanya terdapat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di kawasan sempadan tetapi kebanyakannya rosak dan tidak berfungsi.”

Bukan itu sahaja, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa koordinasi antara agensi penguatkuasaan yang bertugas di kawasan sempadan sangat lemah.

“Agensi-agensi yang bertugas di kawasan sempadan ini masih berpegang kepada penugasan atau ‘core business’ sendiri dan menyukarkan koordinasi kawalan sempadan yang mantap.”

“Peranan pelbagai agensi kawalan sempadan membabitkan beberapa lapisan ini boleh melemahkan tindakan menjaga keselamatan di sempadan terutamanya dengan ketiadaan koordinasi yang efektif.”

Kata laporan itu lagi, “Penyeludupan dan kematian PATI itu boleh dielakkan sekiranya pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif dalam pengawalan sempadan.”

Kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Padang Besar, Perlis, pada 2015 adalah isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Malah, lebih 100 rangka manusia juga ditemukan di kawasan kubur itu, dipercayai daripada etnik Rohingya. Penemuan mengejutkan itu menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: