Tempatan

Koleksi Manuskrip Melayu Berabad Tahun Ditemukan Di Belanda

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2023 – Sebuah koleksi manuskrip Melayu yang berusia berabad tahun ditemui di Deventer, Belanda, lapor sebuah berita tempatan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Ketua Bahagian Asia Tenggara, British Library, London, Datuk Dr Annabel Teh Gallop yang menyatakan bahawa koleksi tersebut mengandungi 72 manuskrip yang terdiri daripada 45 kitab berbentuk naskhah berjilid serta 27 pucuk surat milik Tengku Panglima Besar Tun Sayid Jafar Ba’Alawi atau dikenali sebagai Sayid Jafar.

Menurutnya, manuskrip tertua itu dipercayai berasal dari tahun 1603 dan apa yang menariknya, difahamkan Sayid Jafar sanggup membakar perpustakaannya pada tahun 1784 untuk mengelakkan ia jatuh ke tangan Belanda.

Kata beliau, daripada keseluruhan jumlah manuskrip itu, hanya 28 jilid besar buku berkemungkinan berasal daripada koleksi Sayid Jafar manakala naskhah yang lain seperti surat dan kertas berkemungkinan diperoleh sewaktu berlakunya Perang Selangor-Belanda.

Mengulas lanjut, manuskrip tersebut secara keseluruhannya ditulis dalam bahasa Arab manakala surat-surat serta kitab kecil ditulis dengan bahasa Melayu. Terdapat juga beberapa manuskrip berupa catatan dan buku kecil ditulis menggunakan bahasa serta aksara Bugis.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi syarahan ‘Perpustakaan di Negeri Selangor Kurun Ke-18: Koleksi Buku Panglima Besar Tengku Sayid Jafar’ yang dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), baru-baru ini.

Difahamkan, gelaran penuh Sayid Jafar hanya diketahui menerusi dua surat yang dihantar kepada Gabenor Pulau Pinang, Francis Light di mana menerusi surat itu juga pengkaji mengetahui bahawa Sayid Jafar yang berasal dari Riau, Indonesia itu berketurunan Arab Hadrami.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: