Ikan Buntal Bertoksin, Dilarang Jualan – KP Kesihatan
PUTRAJAYA, 31 Mac 2023 – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai mengenai larangan penjualan ikan buntal bertoksin.
“Ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual,” ujar beliau, menurut akhbar tempatan.
Dr Noor Hisham berkata, larangan itu ditetapkan dengan jelas mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 bahkan Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menjelaskan berkenaan larangan menjual mana-mana makanan yang mengandungi bahan beracun, berbahaya atau memudaratkan kesihatan.
Dedah beliau, sejak 1985 hingga Mac 2023, sebanyak 58 kes keracunan akibat ikan buntal telah dilaporkan dan membabitkan 18 kematian.
BACA JUGA: Didakwa Mengelirukan Dewan, Wan Fayhsal Mahu PM Dirujuk Jawatankuasa Khas
BACA JUGA: Setelah 18 Tahun Larangan, Kini Berlin Benar Guru Muslim Berhijab
BACA JUGA: Didakwa Hina Kaabah, Kaitkan Dengan Bekas PM, Pemuda PAS Lapor Polis
Sementara itu, sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap toksin berbahaya dalam ikan buntal, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD), Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan bahan pendidikan mengenai isu ini.
Tambahnya, KKM akan terus mendidik orang ramai mengenai keselamatan makanan termasuk bahaya memakan ikan buntal.
Terdahulu, dilaporkan, seorang wanita maut dan suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, Johor selepas makan ikan buntal.
Anak pasangan itu, Ng Ai Lee berkata bahawa bapanya membeli ikan tersebut daripada penjual ikan yang berkunjung ke kampung mereka.
“Dia tidak akan membeli sesuatu yang boleh menyebabkan kematian untuk dimakan dan membahayakan nyawa mereka,” kata Ng.