Tempatan

Portal Lapor Mantan Peguam Negara, Tommy Thomas Disiasat SPRM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2022 – Sebuah portal tempatan melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menurut laporan, siasatan dibuat terhadapnya berdasarkan laporan Pasukan Petugas Khas terhadap buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’.

Portal tersebut memaklumkan, perkara itu disahkan oleh satu sumber yang juga memaklumkan bahawa siasatan tersebut kini dalam peringkat kajian terhadap laporan yang dikemukakan sebelum mengenal pasti pihak-pihak lain yang terlibat bagi siasatan lanjut.

Terdapat tujuh isu diberi tumpuan yang berada di bawah Akta SPRM 2009 termasuk dakwaan salah guna kuasa ketika Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara.

Pasukan Petugas Khas mendapati Tommy Thomas mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.

Selain itu, buku laporan setebal 822 muka surat itu turut menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan berlaku salah laku oleh bekas Peguam Negara itu, antaranya campur tangan Tommy Thomas dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia Kerajaan dan menyalahgunakan kuasa melantik peguam luar untuk mewakili Kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.

Tommy Thomas juga didakwa tidak patuh dengan peraturan dan pekeliling Kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, selain dikesan melakukan pecah amanah apabila mendedahkan perbualan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri.

Justeru, terdapat kemungkinan buku itu melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan boleh disiasat di bawah beberapa seksyen, jelas Pasukan Petugas Khas.

Sebelum ini, samudera.my melaporkan kenyataan media YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkenaan ‘Pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” Tulisan Ybhg. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri’.

Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat (4) isu utama dan telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan Kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil, demikian menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Perdana Menteri telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh YBhg. Tan Sri Tommy Thomas.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: