Kes Adib: Mantan Peguam Negara Tidak Sepatutnya Seleweng Fakta
Kuala Lumpur: Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) yang diwakili Lukman Sheriff Alias dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang diwakili Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar mendakwa penulisan mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan rentetan insiden yang mengakibatkan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim didakwa menyelewang daripada fakta sebenar yang diputuskan pada 27 September 2019 oleh Mahkamah Koroner Shah Alam.
Antara penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku memoirnya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ adalah seperti berikut:
i. Kecederaan Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan Bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib. Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit (pinned down). Maka ia tidak disengajakan;
ii. Dapatan koroner Rofiah Mohamad adalah luar biasa kerana polis telah memaklumkan Tommy Thomas bahawa kemungkinan berlaku perbuatan khianat telah diketepikan sebagai penyebab kematian Muhammad Adib; dan
iii. Beliau juga merasa terkejut apabila mengetahui bahawa peguam Syazlin Mansor juga mewakili keluarga Muhammad Adib untuk siasatan mengenai kematiannya. Sedangkan Syazlin juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. Oleh itu, Tommy Thomas menghubungi menterinya Zuraida Kamaruddin untuk meminta agar pelantikan Syazlin sebagai wakil dibatalkan.
Manakala fakta yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam adalah seperti berikut:
1) Muhammad Adib berasa di dalam kenderaan van Bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di belakang jentera pemadam api;
2) Daripada keterangan dan bukti rakaman video, Muhammad Adib berada di dalam van bomba semasa van ini dan jentera pemadam api diserang oleh perusuh;
3) Van ini sedang dalam keadaan mengundur dan Muhammad Adib yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah membantu pemandu van dengan melihat ke cermin sisi. Pada ketika inilah Muhammad Adib telah ditarik ke luar van oleh perusuh;
4) Pada masa Muhammad Adib ditarik keluar, lebih daripada seorang perusuh telah menendang kuat ke arah pintu van sehingga menyebabkan tulang rusuk Muhammad Adib rosak;
5) Perusuh kemudian mencampakkan Muhammad Adib ke arah belakang van yang sedeng mengundur, yakni tepi pintu penumpang sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah di beberapa tempat; dan
6) Sehari atau dua sebelum kematian Muhammad Adib, beliau mampu bercakap dengan baik dan telah mengaku kepada petugas di unit rawatan rapi yang menjaganya bahawa beliau telah ditarik keluar dan dibelasah. Perkara yang serupa turut dimaklumkan kepada ketua balai tempat Muhammad Adib bertugas semasa beliau melawat Muhammad Adib pada hari tersebut.
Realitinya, dalam kenyataan MACSA dan PPMM, Muhammad Adib terkorban ketika menjalan tugas sebagai ahli Unit EMRS, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden rusuhan kaum di Kuil Sri Mariamman.
“Tiada sebab kenapa arwah Adib hendak menipu,” jelas mereka dalam satu kenyataan.
Tambah MACSA dan PPMM, mereka juga khuatir jika Tan Sri Tommy Thomas gagal membetulkan penulisannya, nilai dan harga diri barisan hadapan negara akan diperkotak-katikkan.
“Penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku autobiografinya itu memberikan impak yang sangat menyeleweng kerana membenarkan kepalsuan berleluasa tanpa menghargai pengorbanan nyawa oleh seorang adiwira negara.”
Malah, menurut mereka, Tan Sri Tommy Thomas sudah sedia maklum mengenai pelantikan Syazlin dan beliau tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya sehinggalah mereka bertentangan pendapat dalam satu inkues.
Selain itu, MACSA dan PPMM juga berkata, sebagai Peguam Negara, Tommy Thomas sepatutnya jelas mengenai bukti maklumat dari pihak polis tidak tepat berbanding penemuan fakta dari pihak coroner yang telah melalui proses undang-undang.
“Kami menjemput semua pihak, termasuklah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menghormati bukan saja keputusan inkuiri yang telah dibuat oleh Mahkamah Koroner tetapi lebih utama lagi, pengorbanan nyawa seorang anak muda yang sehingga kini masih belum terbela,” ujar mereka.
MACSA dan PPMM juga mendesak kerajaan membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh kes Allahyarham Muhammad Adib di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR).
“Di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR), setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat. Menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk memastikan hak ini terpelihara dan jika wujud pelanggaran kepada hak ini, pihak yang melanggar hak ini harus dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa.”
Tuntasnya, MACSA dan PPMM menegaskan peristiwa rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Mariamman yang telah mengakibatkan kematian Muhammad Adib menjadi titik hitam dalam keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.