Tempatan

Harga Beras Import India Bergantung Pada Perbincangan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2023 –Harga beras import India akan bergantung kepada hasil perbincangan dengan kerajaan negara itu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Katanya, kerajaan akan meneliti harga beras putih yang ditawarkan oleh India terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan termasuk import beras berkenaan.

“Kita akan lihat dulu berapa harganya sebelum membuat apa-apa perubahan sebab sekarang baru peringkat persetujuan dan akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya.”

Mohamad Sabu berkata demikian pada sidang media majlis pra pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Menara LPP, pada Khamis.

Rabu lalu, Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur memaklumkan India meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa dua negara.

Ia selaras dasar berterusan India menyokong usaha negara sahabat dalam menjaga keterjaminan makanan domestik.

Terdahulu, India melarang eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas bagi mengawal kenaikan harga domestik.

Ia berikutan harga beras dunia naik mendadak pada tahun ini akibat perubahan iklim dunia yang mengganggu pengeluaran dan bekalan beras dunia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: