Tempatan

Dakwaan Pengeboman Hospital Gaza Berpunca Dari Roket Hamas Karut, Tidak Masuk Akal – Tun M

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2023 – Dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden bahawa pengeboman hospital di Gaza adalah berpunca daripada roket milik pejuang Palestin yang tersasar adalah karut dan tidak masuk akal, kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang berkata dalam satu kenyataan di ruangan Facebook rasminya berkata, tidak perlu wujud kesangsian bahawa pengeboman Hospital Al Ahli Al Arab adalah dari serangan udara rejim haram apartheid Israel yang hendak melenyapkan rakyat Palestin dan Gaza dari muka bumi ini sejak minggu lalu.

“Israel yang menyerang rakyat Palestin selama ini, dalam usaha untuk melenyapkan mereka selama 70 tahun tiba-tiba sekarang, selepas melancar serangan udara siang dan malam, menyalahkan rakyat Palestin di atas pengeboman hospital,” tempelak beliau.

Kata beliau lagi, naratif Biden hanya bersandar kepada maklumat dari Netanyahu dan Pentagon di mana beliau mendakwa,

“Netanyahu sudah tentu berbohong dan kalau Biden mempercayai Pentagon, dunia masih belum lupa bagaimana Pentagon dan institusi Amerika yang lain berbohong mengenai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) di Iraq.”

Jelas Tun M lagi, baru-baru ini juga Biden terbukti berbohong tentang dakwaan menyaksikan gambar Hamas yang menyembelih bayi.

“White House sudah menarik balik kenyataan tersebut dan mengakui tidak ada bukti perbuatan sedemikian. Persoalannya bagaimana Biden boleh berbohong sebegitu rupa tanpa sedikitpun rasa malu?” soalnya.

Tegas Tun M, kekejaman yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin adalah berpunca dari sokongan AS ke atas Tel Aviv.

Beliau menjelaskan, Israel tidak akan berani melakukan pembunuhan besar-besaran dan penyembelihan rakyat Palestin secara berleluasa sekiranya AS menarik balik sokongan kepada Israel dan menghentikan bantuan ketenteraan kepada rejim tersebut.

“Kerajaan Amerika Syarikat perlu tampil dan bercakap benar. Israel dan pasukan IDF-nya adalah pengganas. Amerika Syarikat terang-terangan menyokong pengganas. Jadi, Amerika Syarikat ini negara apa?” selar Tun M dalam kenyataan tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: