El-Nino Landa Negara Hingga Jun, Bekalan Makanan Tidak Terjejas
SHAH ALAM, 14 Februari 2024 – Fenomena El-Nino yang melanda negara sehingga Jun tahun ini tidak akan menjejaskan bekalan makanan, ujar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menerusi sidang akhbar Lawatan Kerja Projek Industri Asas Tani (IAT) Keropok House and Industry Sdn Bhd semalam, beliau berkata bahawa, “Bekalan makanan masih mencukupi dalam tempoh cuaca panas.”
Tambahnya, walaupun aduan tetap ada dari masa ke masa, keadaan tanaman masih di tahap terkawal dan pihak Kementerian telah mengambil tindakan terhadap masalah tersebut.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu mengingatkan agar semua pihak bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana cuaca panas ini akan dihadapi dalam tempoh lama.
Sebelum ini, MetMalaysia telah mengeluarkan kenyataan supaya orang ramai sentiasa cakna berkenaan fenomena El-Nino dan Monsun Timur Laut, yang dijangka berlaku serentak pada November 2023.