Tempatan

Gunung Inas Rosak Teruk, Perlu 100 Juta Pokok Untuk Pulih Demi Keselamatan Penduduk

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BALING, 13 Ogos 2022 – “Kerajaan sudah ada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, jadi masukkan Gunung Inas ke dalam program ini kerana kawasan itu memerlukan pelbagai spesies tumbuhan, bermula tumbuhan tutup bumi atau pokok renek sehingga pokok besar, termasuk spesies pohon balak yang pernah wujud sebelum ini.”

Demikian saranan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail selepas mendapati kawasan persekitaran Gunung Inas masih terdedah kepada risiko bencana berikutan faktor perubahan iklim yang terus berlaku ketika ini.

“Jika usaha pemulihan tidak dilakukan segera, penduduk kawasan sekitar Gunung Inas akan terus terdedah kepada ancaman banjir lumpur dan aliran puing terutamanya pada musim hujan,” jelas beliau lagi.

“Suka atau tidak kita perlu akui kerosakan di Gunung Inas sudah berlaku, tidak ada guna kita mempersalahkan antara satu sama lain. Apa yang penting, kita perlu mencari jalan penyelesaian dan memulihkan kembali kawasan hutan simpan yang sudah digondolkan.”

Mengulas mengenai tempoh masa diperlukan sebelum Gunung Inas dapat menjadi stabil semula, beliau menjelaskan, ia tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada usaha pemulihan.

“Untuk mencapai ke tahap benar-benar stabil, ia sememangnya memerlukan masa kerana banyak kawasan sudah menjadi gondol. Pokok renek yang menjadi tumbuhan tutup bumi juga mengambil masa untuk tumbuh sebelum struktur tanah menjadi kukuh.”

“Spesies pokok kayu besar pula mengambil tempoh lebih lama untuk tumbuh dan membesar, jadi kita perlu tanam semua jenis tumbuhan ini terlebih dahulu sebelum dapat menentukan bila Gunung Inas dapat mencapai keadaan stabil,” kata Profesor Dr Ahmad Ismail.

Beliau juga menyarankan pokok durian yang telah wujud pula tidak perlu ditebang, tetapi dijadikan sebahagian daripada projek tanaman semula dan dalam tempoh jangka panjang, hasil durian ini boleh juga dikutip penduduk kampung dan menjadi sumber pendapatan mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: