Waspada! Air Pasang Besar Hingga Jumaat Ini
KLANG, 28 November 2023 – Fenomena air pasang besar di daerah ini dijangka berlarutan sehingga 1 Disember, maklum Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
Menurut infografik yang disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, bacaan paras air laut dijangka meningkat setinggi 5.1 meter hari ini dan 5.0 meter esok yang mungkin membawa kepada risiko banjir.
Dalam pada itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, fenomena itu boleh menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.
“Situasi itu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).”
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di daerah Klang dinasihat supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan semasa.
Orang ramai turut dinasihatkan sentiasa mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab.