NGO

Gagasan ‘Malaysia Madani’ Perlu Berteraskan Konsep ‘Masyarakat Madani’ – Tun Suzana

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Dalam dasar pembangunan sebuah ‘Negara Madani’ sebagai gagasan pentadbiran Kabinet YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti yang telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam buku penulisan beliau bertajuk ‘ Membangun Negara Madani, Visi dan Kerangka Dasar Reformasi’ terbitan Institut Darul Ehsan (cetakan Januari 2023), saya lihat banyak wujud nilai ihsan, rahmah, kasih sayang, perpaduan serta nilai-nilai murni yang lain, yang diterjemah dalam bentuk sistem, infrastruktur, instrumen dan mekanisme yang praktikal serta institusi-institusi kenegaraan yang strategik.

Setelah membaca sepintas lalu, saya membuat kesimpulan bahawa ‘Malaysia Madani’ adalah gagasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melestari serta mengukuhkan Tamadun Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur dalam konteks masa kini serta masa hadapan.

Namun sebagai pengkaji, pemerhati, penulis dan aktivis berkaitan sejarah dan warisan peradaban Alam Melayu, saya juga berpendapat, untuk memperkukuhkan sebuah Tamadun Malaysia yang sejahtera, adil, makmur, mampan, berdaya saing, kreatif dan inovatif tidak dapat tidak perlu dibina di atas gagasan pembangunan jati diri sebuah masyarakat yang berperadaban utuh berteraskan konsep ‘Masyarakat Madani’.

Teras ‘Masyarakat Madani’ telahpun dihuraikan dengan panjang lebar oleh tokoh cendekiawan negara dan antarabangsa yang terulung, iaitu YM Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al Attas dalam pelbagai penulisan dan siri ceramahnya semenjak berpuluh tahun lepas.

Ringkasnya, konsep ‘Malaysia Madani’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah mencadangkan kaedah-kaedah praktikal dalam rangkuman kenegaraan demi mencapai Tamadun Sejahtera, Maju dan Makmur di Malaysia yang bersifat inklusif.

Namun bagi saya gagasan besar ini perlu dijayakan di atas teras masyarakat berperadaban utuh daripada formula ‘Masyarakat Madani’ khususnya kepada bangsa Melayu sebagai penduduk asal, bangsa teras, majoriti, dominan sekali gus pemegang punca kuasa tertinggi di tanah air tercinta ini yang telahpun mempunyai pengalaman sejarah tamadun dan peradaban Madani semenjak beratus-ratus tahun dahulu, dibangunkan dengan gandingan regu ampuh alim-ulama sufi dan umara (Raja-Raja Melayu serta para pembesar), budayawan dan karyawan tempatan, sebelum dibantutkan oleh campur tangan kuasa British, belakangan (pasca merdeka) oleh elemen-elemen sekularisme yang wujud dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat dan negara.

Oleh itu, untuk menjayakan sebuah ‘Negara Madani’, saya mencadangkan gagasan ‘Masyarakat Madani’ Prof Syed Muhammad Naquib al Attas perlu dijadikan teras akar umbi yang kuat, padu dan utuh kepada gagasan ‘Malaysia Madani’ cetusan Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas suatu alasan yang mudah, iaitu kemajuan dan kesejahteraan sebuah negara umat Islam adalah bergantung kepada kekuatan jati diri berteraskan nilai al Quran dan as Sunnah daripada formula peradaban Madinah Munawwarah di zaman Rasulullah S.A.W dan Khulafa ‘ur Rashidin.

Sebagai penutup saya ingin kongsikan sebuah Hadith Rasulullah S.A.W untuk renungan kita semua:

“Dua golongan, sekiranya mereka baik, maka baiklah masyarakat, apabila mereka rosak, maka rosaklah masyarakat. Dua golongan ini ialah Umara’ dan Ulama’.” (HR Abu Nuaim)

Wallahu ‘alam bissawab

TunSuzana@ Suzana Hj Othman
Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam (KEMUDI)

PAUTAN ASAL: FB Tun Suzana Tun Hj Othman

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: