Tempatan

Pemburu Haram Tumpas Setelah 10 Tahun

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ALOR SETAR, 21 Ogos 2023 – Enam suspek dipercayai menjalankan sindiket pemburuan haram hidupan liar yang beroperasi di Hutan Simpan Ulu Muda sejak 10 tahun lepas akhirnya tumpas dalam serbuan pada Ahad.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, kesemua suspek yang berusia 40 hingga 63 tahun itu dipercayai menjadikan aktiviti pemburuan haram ini sebagai sumber pendapatan utama hasil jualan buruan termasuk secara dalam talian di media sosial.

Katanya, serbuan Op Hunter yang dijalankan selama tiga hari itu merampas pelbagai bahagian anggota haiwan terancam termasuk daging yang disejuk beku bernilai keseluruhan RM103,350.

BACA JUGA: Rakyat Malaysia Diseru Fokus Isu Keselamatan Al-Quds – Duta Palestin Ke Malaysia

BACA JUGA: AS Gesa Suntikan Booster Subvarian Baharu

BACA JUGA: Wabak Pertussis: Situasi Terkawal, JKN Pahang Terus Pantau

“Berdasarkan risikan dan pemantauan berterusan Perhilitan serbuan dilakukan di rumah semua suspek di Sik.”

“Antara bahagian anggota haiwan yang ditemui seperti kijang, rusa sambar, pelanduk, burung murai, tiong mas dan ruak-ruak. Bahagian termasuk kepala, kaki, kulit, tulang dan daging itu telah disejukbeku,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Kedah, pada Isnin.

Jelasnya, modus operandi sindiket adalah menjual haiwan berkenaan kepada ahli atau kenalan yang direkrut ke dalam satu kumpulan media sosial bagi mengaburi mata penguatkuasa.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini mempunyai satu kumpulan media sosial dan menjalankan urusniaga dalam kumpulan ini. Namun bukan mudah untuk menjadi ahli kumpulan itu kecuali yang mendapat kepercayaan daripada sindiket,” ujarnya.

Selain itu, sindiket terbabit turut menawarkan pakej pemburuan haiwan liar di hutan tersebut kepada ahli mereka.

“Kita percaya kumpulan sindiket ini melakukan kerja-kerja jenayah mereka di dalam hutan simpan tersebut dan apabila mendapat tawaran haiwan berkenaan akan dibawa pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Tambahnya, serbuan tersebut turut menemukan pelbagai senjata api termasuk buatan sendiri dan busur yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemburuan haram berkenaan.

“Kesemua suspek akan disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: