Tempatan

Konflik Gajah-Manusia: Kerajaan Rugi RM40.21 Juta

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2023 – Kerajaan menanggung rugi kira-kira RM40.21 juta akibat serangan gajah sepanjang tempoh lima tahun lalu, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, nilai kerugian yang dianggarkan daripada konflik manusia dan gajah yang dilaporkan ialah RM39.9 juta bagi tempoh 2018 hingga 2022.”

“Sementara itu, seramai 16 mangsa serangan gajah dilaporkan untuk tempoh sama membabitkan 10 kematian dan enam kecederaan.”

“Bagi tahun ini sehingga Jun 2023, sebanyak RM315,340 anggaran kerugian direkodkan dengan dua kes kecederaan dan tiga kematian dilaporkan.”

Nik Nazmi berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai statistik jumlah kerugian dan kematian akibat serangan gajah serta langkah diambil.

Menurutnya, konflik manusia dan gajah berlaku disebabkan kegiatan guna tanah seperti pembukaan kawasan untuk perladangan dan pertanian yang mengakibatkan kehilangan serta pemisahan habitat gajah.

“Keperluan gajah untuk mendapatkan makanan banyak serta kawasan berkeliaran yang luas juga meningkatkan risiko berlakunya konflik manusia dan gajah.”

Sehubungan itu katanya, Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Konflik Manusia-Hidupan Liar di Semenanjung ditubuhkan bagi meneliti isu konflik serta merangka pelan pelaksanaan pengurusan konflik hidupan liar.

“Ini termasuk penubuhan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Lanchang, Pahang bagi menyelaras tindakan pengurusan konflik gajah di seluruh Semenanjung dan Santuari Gajah Johor bagi menempatkan gajah konflik manakala Santuari Gajah Perak sedang dalam pembinaan.”

Tambahnya lagi, kementerian juga sedang merangka mekanisme pemberian bantuan bagi kerugian dan kerosakan tanaman serta harta benda akibat konflik hidupan liar kepada kumpulan sasar berkaitan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: