197 Kawasan Hotspot Bencana Alam Dikenal Pasti Di Perak
LUMUT, 05 Julai 2023 – Sebanyak 197 lokasi panas bencana alam dikenal pasti di Perak sekiranya negeri itu dilanda angin Baratan yang diramal berlaku dalam tempoh lima hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, Rohaizat Hadli berkata, kawasan itu membabitkan 147 lokasi berisiko banjir serta 50 lokasi berisiko tanah runtuh yang dikesan berdasarkan rekod lampau dan maklumat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
BACA JUGA: Jabatan Pendaftaran Negara Nafi Lantik Ejen Bagi Tawaran Perkhidmatan
BACA JUGA: MAINPP Larang Pendakwah Bebas Sampaikan Ceramah Di P. Pinang
“Kita sedia maklum mengenai angin Baratan yang menyebabkan hujan lebat, ribut petir serta angin kencang di beberapa negeri terutama di utara Semenanjung Malaysia termasuk Perak.”
“Susulan itu, pihak APM akan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan terbabit setiap hari untuk memastikan apa sahaja risiko yang berlaku akan ditangani dengan lebih cepat,” katanya ketika ditemui semasa Latihan Pusat Civil Defence Life Guard Challenge (CDLC) APM Perak di Menara Penyelamat Pantai APM Pantai Teluk Batik pada Selasa.
Jelasnya, APM telah menubuhkan pasukan khas di semua 12 daerah di negeri ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam kesan daripada tiupan angin tersebut.
Sebanyak 314 anggota telah diarahkan bertugas 24 jam untuk memantau, membuat rondaan, memberikan khidmat nasihat serta membuat laporan sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan, kemalangan dan bencana yang berlaku di lokasi berisiko bencana.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan akan berlaku angin Baratan dari 01 hingga 05 Julai ini, risikonya adalah akan berlaku hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa negeri terutama utara Semenanjung termasuk Perak.