Tempatan

Promosi Negara Berbilang Kaum, Ketepikan Melayu Bertentang Perlembagaan Persekutuan – Pakar Perlembagaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 04 Julai 2023 – Kebimbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai usaha promosi negara berbilang kaum sehingga mengenepikan unsur kemelayuan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ada kebenaran,” kata Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Ujarnya, perlu difahami bahawa istilah orang Melayu mengikut Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan bangsa Melayu kerana Perjanjian Persekutuan Melayu 1948 memperluaskan takrifan bangsa Melayu apabila menerima kemasukan kaum bukan bangsa asal Tanah Melayu sebagai warga negara Persekutuan.

BACA JUGA: MAINPP Larang Pendakwah Bebas Sampaikan Ceramah Di P. Pinang

BACA JUGA: Pemimpin Bersatu Dakwa DAP Kerap Ugut Tun M Ketika Jadi PM

BACA JUGA: Saman Seluar Pendek: Bantahan Hak Asasi Bukan Melayu Dicabul Tak Berasas – Prof Datuk Dr Teo Kok Seong

Namun, Perlembagaan memelihara jati diri bangsa asal yang beridentiti unsur kemelayuan dalam peruntukan Perlembagaan.

“Prinsip Keluhuran Perlembagaan meletakkan jati diri watan Tanah Melayu di tempat tinggi dan tidak boleh dilihat sebagai diskriminasi kepada mana-mana pihak,” tegasnya.

Tambahnya, perlu difahami bahawa suatu bangsa itu tidak terikat pada darah keturunan, perbezaan etnik atau ras sebaliknya bangsa dan ke’bangsa’an itu adalah kewarganegaraan atau kerakyatan.

“Sering dibangkitkan bahawa warganegara kita terdiri daripada bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India dan lain-lain bangsa. Untuk menyatakan bangsa Melayu itu warganegara Malaysia jawabnya tidak salah kerana bangsa Melayu ialah warganegara Persekutuan Tanah Melayu yang bersekutu dengan Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak untuk membentuk ‘supra-nation’ Malaysia.”

“Pada satu sisi lain, Malaysia berakar pada ‘Malay’ iaitu Melayu, dan Malaysia dirujuk sebagai gugusan kepulauan Melayu atau Tanah Melayu dalam wilayah Alam Melayu,” kata Dr Wan Ahmad Fauzi.

Namun begitu, setiap warganegara Malaysia tidak boleh diabaikan taat setia kepada elemen watan Tanah Melayu sebagai kewajipan kewarganegaraan.

“Perkara itu membabitkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja Melayu, Bahasa Melayu termasuklah tulisan Jawi, adat resam Melayu, serta kedudukan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak dan orang Asli sebagai bangsa asal.”

Tegasnya, “Kedudukan elemen watan tidak patut dipertikai kerana itulah syarat perlu dipenuhi sebelum seseorang itu diterima sebagai warganegara.”

Jelas beliau, penerimaan kaum pendatang atau bangsa asing sebagai bangsa Melayu (warganegara Persekutuan Tanah Melayu) perlu disertai kefahaman bahawa mereka hendaklah mentaati prinsip Keluhuran Perlembagaan.

“Ini termasuk mengasimilasi atau sekurang-kurangnya mengakomodasi jati diri watan Tanah Melayu dan seorang warga negara Malaysia tidak mungkin boleh mengekalkan kebangsaan lain, sama ada China, India, Arab atau Eropah, namun pengenalan etnik boleh dikekalkan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: