Tempatan

Gajet Ancam Perkembangan Sahsiah Kanak-Kanak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 18 Jun 2024 – Pendedahan gajet yang berlebihan boleh menjejaskan perkembangan sahsiah kanak-kanak.

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC), Dr. Abd. Razak Zakaria berkata, penggunaan gajet yang berlebihan boleh mengganggu kemampuan tumpuan dan mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak.

Katanya, pergaulan secara fizikal dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin berkurangan dan mereka kini lebih banyak berinteraksi dengan rakan maya melalui platform digital.

“Kanak-kanak sekarang masih lagi berkembang secara normal tetapi berlaku sedikit rencatan kepada tumbesaran berikutan mereka banyak terdedah dengan gajet yang menjerumuskan mereka kepada dunia maya yang lebih luas.”

“Terdedah terlalu lama dengan gajet sebenarnya banyak memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak dan apa yang kita lihat sekarang, mereka bukan sahaja antisosial malahan semakin sukar dikawal oleh ibu bapa,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan sejak akhir-akhir ini terdapat keluhan amat membimbangkan daripada segelintir pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) berkaitan tingkah laku antisosial kanak-kanak di pusat asuhan yang rata-ratanya mula menunjukkan perubahan agak luar biasa.

Pengusaha Taska Tadika Hidayah Educare, Fadilah Omar pula berkata, ibu bapa yang membenarkan anak-anak menggunakan gajet secara berlebihan boleh menyebabkan mereka gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran terutama di pusat asuhan.

Katanya, ibu bapa perlu memberi penekanan terhadap perkembangan sosial anak-anak terutama dari segi pergaulan, komunikasi, kestabilan emosi dan pelaksanaan aktiviti fizikal yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan serta masa hadapan mereka.

“Ada ibu bapa ambil jalan pintas untuk anak-anak yang tantrum dengan memberi gajet. Perkara ini membuatkan mereka antisosial dan gagal menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling seperti di tadika atau taska.”

“Hal ini juga memberi kesan negatif kepada persediaan mereka memasuki sekolah. Contohnya, kanak-kanak yang sering diberikan gajet sebelum ke pusat asuhan mungkin enggan melepaskan gajet dan mengamuk serta mengganggu kanak-kanak lain,” jelasnya.

Tambahnya, masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak di pusat asuhan perlu diberikan bimbingan yang sesuai agar mereka lebih efektif dalam berinteraksi dengan guru dan rakan-rakan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: