Antarabangsa

Justin Bieber Lumpuh Separuh Muka, Doktor Gesa Suntik Vaksin Chickenpox

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2022 – “Ini adalah masa yang terbaik untuk ingatkan semua orang yang vaksin chickenpox dah ada dan jika anda masih belum dijangkiti chickenpox, pergilah ambil vaksin!”

Nasihat ini dikeluarkan oleh Nazeera Nasir, pengguna Twitter yang merupakan seorang pegawai perubatan dalam media sosialnya baru-baru ini.

Nasihat ini diberikan selepas arena hiburan Hollywood dikejutkan dengan pendedahan dari artis lelaki popular, Justin Bieber yang menderita penyakit Sindrom Ramsay Hunt.

Dalam laman Twitternya, Nazeera turut berkongsi bebenang dari seorang lagi doktor, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan mengenai apa itu Sindrom Ramsay Hunt.

Menurut Dr Kamarul, sindrom penyakit ini hanya berlaku kepada orang yang pernah mengalami cacar air (chickenpox). Ini kerana ia disebabkan oleh jangkitan virus varicella-zoster, iaitu virus yang sama yang menyebabkan cacar air dan kayap (shingles).

“Selepas seseorang pulih dari cacar air, sebahagian virusnya akan kekal di saraf. Ia kemudian boleh aktif kembali. Jika ia berlaku di saraf rusuk, maka ia menjadi kayap, manakala di saraf muka pula menjadi Sindrom Ramsay Hunt,” ujar Dr Kamarul.

Jelas Dr Kamarul yang juga dikenali dengan nama Chaku, Sindrom Ramsay Hunt kelihatan hampir serupa dengan Bell’s Palsy, tetapi gejalanya lebih banyak.

Antara gejala-gejalanya adalah sakit telinga, pendengaran terjejas, kelumpuhan sebelah muka, ruam berlepuh (seperti kayap), vertigo (pening berpusing) dan kering mata juga mulut.

Tambah Dr Kamarul lagi, rawatan untuk sindrom ini adalah sama seperti rawatan untuk cacar air dan kayap.

Justeru, lebih cepat seseorang mendapatkan rawatan, lebih tinggi peluangnya untuk pulih.

Pada 11 Jun baru-baru ini, menerusi video yang dimuat naik di Instagramnya, penyanyi popular, Justin Bieber mendedahkan beliau menderita penyakit Sindrom Ramsay Hunt.

“Seperti yang anda lihat sekarang, mata saya tidak berkelip dan saya tak boleh tersenyum dari sisi muka saya. Lubang hidung saya tak bergerak jadi terdapat kelumpuhan penuh di bahagian muka,” kata Justin.

“Virus tersebut telah menyerang saraf di telinga saya dan saraf muka sehingga menyebabkan separuh muka saya jadi lumpuh,” ujarnya lagi.

Menurut laman web Hospital Mount Sinai, sekiranya tidak banyak kerosakan pada saraf, penghidap Sindrom Ramsay Hunt akan menjadi lebih baik sepenuhnya dalam masa beberapa minggu.

Namun, jika kerosakan saraf lebih serius, penghidap mungkin tidak pulih sepenuhnya, walaupun selepas beberapa bulan.

“Secara keseluruhan, peluang anda untuk pulih adalah lebih baik jika rawatan dimulakan dalam masa 3 hari selepas gejala bermula. Jika rawatan ditangguhkan selama lebih daripada 3 hari, terdapat kurang peluang untuk pulih sepenuhnya. Kanak-kanak lebih berkemungkinan untuk pulih sepenuhnya daripada orang dewasa.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: