Tempatan

Rumah Tergendala: Kementerian Disoal, Bantu Pembeli Terbeban Pinjaman Bank

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2022 – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun pada sesi perbahasan Parlimen pagi ini telah meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, agar menyatakan tindakan yang diambil kementerian tersebut dalam isu projek perumahan tergendala, di mana pembeli rumah pertama kini terbeban dengan caj penuh bayaran balik pinjaman.

Soalan beliau seterusnya dijawab oleh Ahli Parlimen Maran, YB Dato’ Sri Dr Haji Ismail Abdul Muttalib yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Menurut Ahli Parlimen Maran tersebut, beliau cenderung untuk menamakan projek tergendala tersebut dengan istilah projek sakit.

Menurutnya lagi, disebabkan pandemik COVID-19 yang memaksa sektor bukan kritikal untuk tidak beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan telah memberi tempoh pengecualian kepada para pemaju projek-projek tersebut di bawah akta 829 serta akta A1641, oleh Jabatan Perumahan Negara berdasarkan justifikasi yang dibenarkan.

Bagi membantu rakyat yang terjejas, Kerajaan melalui Bank Negara telah memberi moratorium bagi tempoh enam bulan dan seterusnya melanjutkan lagi bantuan kepada moratorium bersasar bagi tempoh tiga bulan. Selain itu, terdapat juga inisiatif bagi memberi pengurangan bayaran ansuran sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan.

Timbalan Menteri tersebut selanjutnya menyatakan bahawa melalui insentif-insentif yang diberikan itu, rakyat dapat membuat penstrukturan semula bayaran pinjaman perumahan mereka.

Bagi penjawat awam pula, terdapat Skim Bantuan Khas yang mamberi penangguhan bayaran balik ansuran bulanan sehingga enam bulan, kata Timbalan Menteri itu lagi.

Ahli Parlimen Maran itu juga turut menyatakan bahawa kementeriannya mempunyai ‘war room’ dalam memantau, menguatkuasa serta menyenarai pendek projek-projek sakit yang boleh dipulihkan. ‘War room’ tersebut juga berfungsi dalam menggariskan langkah-langkah pemulihan dan penyelesaian terbaik dalam menghadapi isu ini.

Menurutnya juga, pihak Kerajaan juga dalam mendepani masalah ini telah mengeluarkan peruntukan bagi menampung kos pemulihan projek terbengkalai.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: