Asalkan Berpakaian, Sarawak Sedia Jadi Hos Konsert Antarabangsa
KUCHING, 23 Jun 2023 – “Banyak acara yang kami adakan di sini tidak begitu ketat pada pakaian asalkan tidak berbogel,” ini jawapan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selepas diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa Malaysia kononnya terlepas ‘loteri ekonomi’ melibatkan konsert antarabangsa.
Dalam hal ini, beliau berkata, Sarawak sedia menjadi tuan rumah untuk penganjuran konsert antarabangsa di Malaysia selagi ia mematuhi peraturan dan undang-undang.
Memberi contoh Festival Muzik Borneo Live yang disertai termasuk superstar antarabangsa seperti Alan Walker dan DJ Soda tahun lalu, ujar beliau, Sarawak memastikan konsert itu dapat dipentaskan dan dilaksanakan dengan teratur.
BACA JUGA: Demam Denggi Dijangka Meningkat Menjelang PRN, Raya Haji
BACA JUGA: Ideologi LGBTQ: Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM Digesa Wujudkan Garis Panduan Kekang Penyebaran
BACA JUGA: Gagal Bahasa Melayu Atau Sejarah, Lebih 33,000 Lepasan SPM Gagal Dapat Sijil
“Orang ramai yang menghadiri festival itu di luar jangkaan kami. Jadi kami tidak boleh generalisasi seluruh Malaysia sebagai sama.”
“Banyak acara yang kami adakan di sini tidak begitu ketat pada pakaian asalkan tidak berbogel,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2023 semalam.
Mengulas isu laporan berita bahawa Malaysia kononnya terlepas ‘loteri ekonomi’ selepas kumpulan popular British Coldplay mengumumkan lawatan selama enam hari di Singapura berbeza dengan di Malaysia, Dato Sri Abdul Karim berkata,
“Walaupun Singapura agak terbuka tetapi dalam keterbukaan itu ada juga had-had yang mesti diikuti oleh penghibur dan penonton konsert.”
“Kalau berbogel, kena tangkap. Sama juga dengan mengambil dadah pun kena tangkap. Begitu juga di sini.”
Tegasnya lagi, yang penting bagaimana kita kawal dan laksana undang-undang. Ia (konsert antarabangsa) boleh dilakukan (di sini).
September lalu, samudera.my melaporkan, Pusat Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dilaporkan sedang memuktamadkan keputusan Kerajaan yang bakal memperkenalkan peraturan baru melibatkan persembahan konsert artis antarabangsa di pentas Malaysia.
Hal ini susulan daripada isu konsert artis luar yang menjadi tumpuan apabila Pemuda PAS menggesa pihak Kerajaan membatalkan semua konsert akan datang yang menampilkan artis antarabangsa atau mereka akan mengadakan bantahan dengan mendakwa acara sebegitu menggalakkan hedonisme.