137 Kolam Tadahan Banjir Dipertimbang Sebagai Sumber Air Alternatif
SHAH ALAM, 22 FEBRUARI 2024 – Sebanyak 137 kolam tadahan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dipertimbang untuk dijadikan sumber air mentah alternatif di Selangor bagi mendepani kemarau atau fenomena El Nino.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, tambahan sumber alternatif tersebut dijangka mampu memberikan bekalan air yang mencukupi sehingga sembilan bulan jika cuaca panas atau kemarau berlaku sepanjang tempoh tersebut.
“Kolam tadahan air tersebut adalah tambahan kepada 80 kolam yang sudah pun dikenal pasti sebagai sumber alternatif untuk diwartakan oleh kerajaan negeri.”
“Itu langkah kesiapsiagaan berdasarkan makluman daripada Jabatan Meteorologi berhubung fasa terakhir Monsun Timur Laut yang dijangka menyebabkan cuaca panas berterusan sehingga hujung Mac,” katanya.
Sehingga kini, sumber air semasa yang melibatkan tujuh empangan dan 20 kolam sumber alternatif membolehkan bekalan dapat memenuhi permintaan penduduk di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga enam bulan.
Mengulas lanjut, LUAS turut memilih 21 kolam bekas lombong di tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang untuk dibangunkan sebagai kolam takungan air tambahan dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) melalui Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).
Jelasnya, kolam-kolam tersebut direka untuk pelbagai fungsi seperti tebatan banjir, rekreasi, pencairan pencemaran dan sebagainya.