Kakitangan Penjara Penor Menang Anugerah Tenun Pahang Diraja

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEPANG, 31 Oktober 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan anugerah Tenun Pahang Diraja kepada kakitangan Penjara Penor, Mohd Hafiz Izudin Yasin dan Ahmad Firdaus Mohd Razali yang telah dinobatkan sebagai pemenang, semalam.

Selain itu, Penjara Penor juga memenangi kategori warna alam dan Anugerah Sulaiman Abdul Ghani yang dimenangi oleh Mohd Shahrul Amir Muda serta Ahmad Firdaus Mohd Razali.

Dalam kategori songket pula dimenangi oleh Penjara Marang, Fadhil Ab Rashid dan Masdi Salim, manakala bagi kategori batik pula dimenangi oleh Wan Mohd Hafiz Wan Hamid dan Zulkifli Husein dari Penjara Pangkalan Chepa.

Majlis Penyampaian Anugerah Kreatif Tenun Pahang Diraja, Songket, Batik dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia 2022 di Hotel Movenpick, Sepang, Selangor itu bertemakan ‘Kreativiti Melestari Tradisi’, juga dianjurkan sebagai pengiktirafan kepada warga Jabatan Penjara terutama bagi penghuni dan kakitangan sebagai fasilitator yang terbabit dalam Bengkel Tenun Pahang Diraja, Songket dan Batik.

Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut ditemani anakanda baginda, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.

Tahun ini juga, Tenun Pahang Diraja buat pertama kali telah dipamerkan di London Minggu Kraf London (LCW) yang berlangsung di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square pada 9 Mei hingga 16 Mei 2022 lalu.

“Ini adalah kali pertama mereka (tekstil) keluar dari Malaysia untuk menyertai Minggu Kraf London,” titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka Baginda juga berkenan mengetuai delegasi bagi mempromosi dan mempamerkan tekstil Tenun Pahang Diraja dalam Minggu Kraf London (LCW) tersebut.

“Saya mahu dunia tahu bagaimana kami telah berkembang,” titah Seri Paduka Baginda.

Exit mobile version