Raja Permaisuri Agong Pamerkan Tenun Pahang Diraja Di London
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 08 Mac 2022 – “Ini adalah kali pertama mereka (tekstil) keluar dari Malaysia untuk menyertai Minggu Kraf London,” titah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika sedang membuat persediaan bagi pameran tahunan yang akan meraikan kreativiti cemerlang British dan antarabangsa.
Seri Paduka Baginda berkenan mengetuai delegasi bagi mempromosi dan mempamerkan tekstil Tenun Pahang Diraja dalam Minggu Kraf London (LCW) yang akan berlangsung di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square pada 9 Mei hingga 16 Mei 2022 ini.
Semasa lawatan diraja ke London Oktober lalu, Seri Paduka Baginda berkenan melawat Minggu Kraf London dan bertemu dengan pengasas dan pengerusinya, Guy Salter.
“Kami berbesar hati dijemput untuk mengambil bahagian. Saya ingin ia (pameran) menjadi antarabangsa, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi untuk tatapan seluruh dunia.”
“Saya mahu mereka melihat industri kotej kita, sudah lebih 300 tahun di Pekan,” titah Seri Paduka Baginda.
Minggu Kraf tersebut yang berlangsung selama seminggu itu akan mengumpulkan kira-kira 250 pembuat, pereka, jenama serta galeri yang terkenal dari seluruh dunia bagi mempamerkan produk mereka.
Dalam pameran itu, Tenun Pahang Diraja hanya akan mempamerkan potongan tekstil hasil daripada banduan Penjara Penor dan Bentong.
“Saya hanya membawa tenun dari penjara kerana saya mahu dunia tahu tentang kerja yang kami lakukan.”
“Saya mahu dunia tahu bagaimana kami telah berkembang,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda yang merupakan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja bertitah, Baginda teruja dengan prospek dalam mempamerkan tradisi tenun Pahang berabad-abad lamanya yang disifatkan sebagai “membawa penjara Penor dan penjara Bentong ke London”.
Seri Paduka Baginda berkenan memaklumkan bahawa Baginda akan membawa warden yang tidak pernah menjalani latihan seni dalam hidup mereka dan kini mengajar banduan cara menenun.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa kualiti tertinggi dan reka bentuk yang paling cantik ditenun oleh banduan lelaki di sana dan ia menzahirkan rasa bangga dalam diri Baginda apabila pakaian yang dipakai Tunku Azizah semasa istiadat pertabalan Permaisuri Malaysia menjadi tumpuan di pameran itu ditenun oleh banduan.
“Saya sangat bangga dengan mereka,” titah Seri Paduka Baginda.
Pengunjung pameran itu juga akan dapat menjamu mata mereka dengan cebisan tekstil lama dari Pahang, serta cebisan yang telah direka dari lakaran hingga produk akhir oleh Tunku Azizah sendiri.
“Ini supaya orang ramai dapat melihat sejauh mana kita berada dalam tempoh 15 tahun sejak saya mengambil alih tugas sejak 2005, apabila saya mengambil alih Tenun Pahang dan memberikannya nama baharu,” titah Seri Paduka Baginda lagi.
Tambah Seri Paduka Baginda, usaha ini adalah sebahagian daripada persiapan kita untuk Perkampungan Sultan Abdullah yang akan dibina di Pekan, satu pusat di mana semua bekas banduan dibenarkan untuk hadir.
Pada 23 Februari hingga 7 Mac 2022, Pameran Solo Seni Kraf Batik Raja Permaisuri Agong buat kali kedua dijalankan bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan 2022 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.
Lebih 30 helai batik tangan rekaan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang baharu dipamerkan di sana.