Home / Ibu Kota Kuala Lumpur / Apa Sudah Terjadi dengan Projek River of Life?

Apa Sudah Terjadi dengan Projek River of Life?

Kalau anda pernah lepak atau jalan-jalan dekat area Masjid Jamek pada waktu malam sekarang, mesti anda perasan suasananya dah berubah 180 darjah. Dengan lampu LED biru yang memancar terang dan siap ada semburan kabus (mist) buatan, tempat ni dah tak rupa macam Kuala Lumpur yang lama. Sekali pandang, rasa macam tengah jalan dekat tepi sungai di Seoul, Korea pun ada. Memang cantik dan “Instagrammable” habis.

Inilah wajah kebanggaan projek “River of Life” (RoL). Bukan sikit duit yang dilaburkan untuk projek mega ni. Kerajaan telah membelanjakan kos yang sangat besar, mencecah RM4.4 bilion, dengan matlamat untuk mengubah sungai yang dulu orang tak pandang (sebab kotor dan berbau), menjadi satu tarikan pelancongan bertaraf dunia. Jika anda kunjungi laman web River of Life sini, anda boleh baca pelbagai kerja pembaikpulihan yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk membersihkan & tingkatkan kualiti air Sungai Klang & Sungai Gombak.

Dari segi kosmetik, memang nampak berjaya. Jambatan ni sentiasa penuh dengan orang ambil gambar. Tapi, kalau kita padamkan lampu biru tu dan tengok betul-betul pada waktu siang, adakah sungai kita dah benar-benar pulih? Atau adakah semua kecantikan ini cuma “mekap” tebal untuk menutup air sungai yang masih keruh?

Sebenarnya, River of Life ni boleh dikatakan tempat tarikan yang kurang diketahui orang ramai dekat KL. River of Life ini taklah sesak sangat dengan bas rombongan pelancong macam di tempat lain. Jadi suasananya agak tenang, sesuai sangat kalau nak elakkan sekejap dari kesibukan kota atau sekadar nak ambil angin petang dengan keluarga.

Apa yang buat tempat ni hidup bukan airnya saja, tapi dinding-dinding bangunan di kiri kanan sungai tu. Sekarang penuh dengan mural & lukisan yang berwarna-warni. Lukisan-lukisan ni bukan sekadar conteng, tapi ia menceritakan sejarah dan budaya tempatan Malaysia. Memang port baik untuk bergambar atau OOTD.

Satu lagi tarikan yang unik ialah abang-abang pelukis karikatur di sepanjang laluan pejalan kaki tu. Dengan bayaran serendah RM15 je seorang, anda boleh dapat lukisan wajah yang personalized. Murah harganya, dan satu cenderamata yang unik untuk dibawa balik—jauh lagi bermakna daripada beli keychain biasa.

Dari jambatan utama, pemandangannya memang tiada tandingan. Anda boleh nampak terus Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang ikonik tu berdiri megah di titik pertemuan dua sungai—Sungai Klang dan Sungai Gombak. Walaupun orang selalu cakap “Blue Pool” waktu malam tu memukau, datang waktu siang pun ada kelebihannya. Waktu inilah kita boleh nampak detail seni bina masjid dan mural tu dengan jelas. Lagipun, tempat ni berdekatan je dari Dataran Merdeka. Boleh park kereta sekali, dan jalan pusing dua-dua tempat ni santai-santai & tingkatkan lagi aktiviti fizikal supaya badan kita jadi lebih sihat.

Jujur cakap, saya memang terpegun bila tengok River of Life ni, terutamanya bila malam menjelma. Memang lain macam dia punya cantik. Bila matahari terbenam je, suasana kat situ terus berubah sepenuhnya. Pada jam petang sebelum langit jadi hitam, dengan suhu yang lebih rendah, ianya amat santai & selesa untuk meluangkang sedikit masa di kawasan Dataran Merdeka & River of Life. Dengan lampu warna-warni yang memancar atas air dan menyuluh bangunan-bangunan lama di sekeliling, rasa macam bukan dekat Kuala Lumpur dah, tapi masuk dunia fantasi. Memang surreal.

Apa yang buat tempat ni lagi menarik ialah cerita di sebaliknya. Projek ni sebenarnya dimulakan kerajaan sejak tahun 2012 lagi, dengan misi untuk “hidupkan” semula Sungai Klang dan Sungai Gombak supaya jadi kawasan tepian air yang bernilai untuk orang kita dan pelancong. Sekarang, visi tu memang dah nampak hasilnya di depan mata. Gabungan lampu LED, kabus buatan yang beralun atas air, dan air pancut yang bertukar warna tu memang nampak moden dan magikal. Kalau anda ingat lagi, dulunya Sungai Klang di Malaysia dan sungai-sungai lain terkenal sebagai antara sumber air paling tercemar di dunia.

Kalau jalan kaki kat tepi sungai ni memang tenang habis. Kita boleh ambil masa pusing-pusing, tangkap gambar lawa, sambil layan gabungan bangunan bersejarah dengan suasana bandar yang hidup. Tempat ni memang mengajak kita untuk slow down dan nikmati momen tu.

Lokasi dia pun senang sangat nak pergi. Boleh jalan kaki je dari Dataran Merdeka atau Pasar Seni (Central Market), jadi senang nak selitkan dalam jadual jalan-jalan KL. Tak kisahlah anda datang siang untuk tengok seni atau malam untuk layan light show, tempat ni memang wajib singgah.

Satu perkara yang kita tak boleh nafikan, kualiti air di kawasan ini memang dah jauh bertambah baik berbanding zaman dulu. Kalau dulu ramai yang tutup hidung bila lalu sini, sekarang orang dah boleh lepak santai sambil hirup udara segar tepi sungai. Syabas diucapkan kepada pihak kerajaan atas usaha-usaha yang tidak berhentian merealisasikan pengubahan yang amat ketara ni. Bukan senang nak merawat sungai-sungai yang dah berpuluh tahun tercemar di tengah-tengah bandaraya yang sibuk. Ini bukti bahawa dengan perancangan yang betul, benda yang nampak mustahil pun boleh jadi kenyataan.

Tapi, kerja kita belum selesai. Mencantikkan luaran itu satu hal, tapi mengekalkan kualiti air itu cabaran yang sebenar. Kita kena ingat, sungai ini bukan sekadar hiasan untuk nampak cantik dalam gambar, tapi ia adalah sumber air dan nadi kehidupan kita yang mengalir terus ke laut. Usaha untuk memelihara sungai ni memerlukan komitmen berterusan—bukan saja dari pihak berwajib, tapi dari kita sendiri sebagai warga kota. Jom sama-sama kita jaga kebersihan “permata” Kuala Lumpur ini supaya ia kekal indah dan bersih untuk generasi akan datang.

Sumber gambar-gambar dari Laman Web Official River of Life