Tempatan

Ziarah Rumah Ibadat Bukan Islam Bercanggah Dengan Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 – MAIS

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AKTIVITI ZIARAH RUMAH IBADAT ORANG BUKAN ISLAM BAGI TUJUAN MEMPELAJARAI AGAMA BUKAN ISLAM BERCANGGAH DENGAN ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PENGEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988

Pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merujuk kepada iklan dan risalah yang telah diedarkan melalui media sosial dan eletronik sejak beberapa hari yang lepas berkaitan dengan “Projek Artikel 11 Jom Ziarah”, satu program yang dianjurkan oleh Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Melalui program ini para belia di Malaysia yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama yang berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput untuk menyertai program yang diatur termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes pada 18 Mac 2023. Bagi maksud program di gereja pada 18 Mac 2023, program ini adalah berkaitan dengan pengetahuan mengenai agama Kristian.

Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan ini, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain daripada agama Islam. Program sebegini jika dibenarkan untuk dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.

Di Negeri Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

MAIS mengambil pendekatan berhati-hati demi memelihara akidah umat Islam di Negara ini. Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan Malaysia. Malah, Islam tidak melarang persahabatan dan toleransi dengan orang bukan Islam seperti yang dianjurkan dalam Surah Al-Mumtahanah, ayat 8:

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusirmu dari kampung halaman kamu…..”.

Walaupun objektif program ini dikatakan untuk memberi pendedahan tentang sesuatu agama yang diamalkan di Negara ini dan bagi menjalin perpaduan erat di kalangan para penganut pelbagai agama, namun program mempelajari agama lain selain Islam di mana-mana gereja atau rumah-rumah ibadat agama lain memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu untuk memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain. Kaedah fiqh telah menekankan bahawa “Menolak keburukan perlu didahulukan daripada mengambil kebaikan”, membawa maksud apa-apa aktiviti yang menggalakkan orang awam beragama Islam memasuki tempat ibadah orang bukan Islam secara terbuka untuk mempelajari agama bukan Islam lebih membawa kepada kesan negatif daripada kebaikan menjaga akidah kepada umat Islam khususnya para belia Islam dan ia perlu ditolak dan disekat.

MAIS menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Fasal 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak tiap-tiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, namun ia masih tertakluk kepada undang-undang yang digubal untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa- apa doktrin dan kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam sepertimana yang dijelaskan dalam Fasal 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

MAIS mengambil maklum tentang kenyataan terbaru Y.B. Hannah Yeoh di Parlimen bahawa program ini yang pada asalnya terbuka kepada semua, kini telah ditukar dan dihadkan kepada para belia bukan Islam sahaja. Namun semakan pihak MAIS setakat ini mendapati bahawa risalah dan iklan yang telah diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam.

MAIS mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan kepada mana-mana penganjur sama ada daripada sektor awam, pertubuhan bukan Kerajaan atau badan lain yang berhasrat

mengadakan aktiviti dan program atas dasar perpaduan dan keharmonian agar perlu lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat di Negara kita.

YAD TAN SRI DATO’ SERI ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSOF
Pengerusi
Majlis Agama Islam Selangor

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: