Antarabangsa

YouTuber Terkenal Terima Kecaman Ramai Selepas Perkecilkan Penderitaan Palestin

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CAMBRIDGE, 08 Oktober 2022 – YouTuber terkenal Israel, Nas Daily atau nama penuhnya Nuseir Yassin, telah mendapat kecaman ramai terutamanya di kalangan rakyat Palestin selepas menyiarkan video memperlekehkan isu penderitaan yang dialami Palestin selama ini.

Lapor berita Arab, video berdurasi sekitar tujuh minit itu memaparkan Nuseir sebagai warga Palestin yang lahir di wilayah jajahan rejim haram aparteid Israel membincangkan mengenai pendiriannya terhadap konflik Palestin dan Israel.

Katanya, video tersebut mengambil masa enam tahun untuk dibuat setelah mendapat permintaan daripada lebih 10 juta orang. Dalam video itu juga, dia menegaskan, ‘kedua-dua pihak’ rejim haram aparteid Israel dan Palestin menghadapi penderitaan dan keganasan serta tiada siapa yang dapat menafikan perkara ini.

Dalam pada itu, Nuseir juga berpendapat bahawa rejim haram aparteid Israel harus wujud kerana mempunyai ‘orang-orang yang baik’. Dia mencadangkan penyelesaian mudah di mana semua pihak bersatu, bukan terpisah.

Walau bagaimanapun, video tersebut diselar oleh ramai content creator Palestin kerana menggambarkan ‘kesederhanaan’ situasi sebenar yang terjadi.

Subhi Taha, seorang content creator Palestin mengatakan, “Saya rasa tidak adil untuk menyamakan sejarah rakyat Palestin dan penderitaan mereka dengan mana-mana penderitaan yang ada di dunia ini. Ia lebih rumit daripada itu.”

Tambahnya, “Bagi saya dan kebanyakan rakyat Palestin, ia bukan satu konflik. Ia adalah pembersihan etnik, genosid, aparteid, diskriminasi, dan banyak lagi.”

Beliau turut menegaskan bahawa rejim haram aparteid Israel mempunyai kuasa memerintah dan berkuasa ke atas rakyat Palestin. Oleh itu, isu ini bukanlah satu konflik seperti yang dinyatakan Nas Daily dalam video tersebut.

Selain itu, penganalisis politik Palestin, Omar Baddar pula berkata, “Apa yang hilang daripada video yang tidak masuk akal dan dangkal ini ialah sebarang rasa perbezaan yang amat ketara terhadap skala penderitaan dan keganasan, dan paling penting sekali, kenapa penderitaan dan keganasan itu wujud, iaitu kerana ketidakadilan politik pada terasnya.”

“Ketidakadilan politik itu adalah pendudukan dan aparteid Israel yang telah didokumentasikan oleh setiap pertubuhan hak manusia utama di dunia ini, termasuk organisasi hak asasi manusia Israel.”

“Dan jika kita ingin menamatkan penderitaan dan keganasan yang memberi kesan kepada kedua-dua Palestin dan Israel, maka kita harus tamatkan ketidakadilan politik yang mendorongnya; dan itu adalah rejim aparteid Israel yang menguasai, mencuri tanah, dan keganasan terhadap rakyat Palestin,” tegasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: