Antarabangsa

YouTuber Terkenal Dunia, Nas Daily Mengaku Bayar Rm710,300 Untuk Masuk Malaysia!

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2022 – Bagi memenuhi impian yang ditanam selama empat tahun lalu, YouTuber terkenal dunia, Nas Daily mengaku telah mengeluarkan kos sebanyak AS$150,000 (kira-kira RM710,300) hanya untuk membuat pasport dari negara lain dan masuk ke Malaysia.

Nuseir Yassin yang berasal dari negara rejim haram aparteid Israel itu mendedahkan hal tersebut dalam video terbarunya menerusi platform media sosial, YouTube yang dikongsi pada Sabtu lalu yang telah mencapai jutaan tontonan.

Dia yang sudah memasang niat dan merancang untuk masuk ke negara ini secara sah ketika menetap di Singapura dengan gembiranya berkata, “Rakaman ini bernilai $150,000, itulah kos pasport saya hanya untuk masuk ke Malaysia dan tunjukkan kepada anda!”

Menurut laporan media, dia mengaku itulah harga yang perlu dibayar bagi memperoleh dokumen perjalanan dari Saint Kitts and Nevis setelah diberikan kerakyatan oleh negara kepulauan Caribbean tersebut.

Samudera.my sebelum ini melaporkan kenyataan Nuseir yang berjaya masuk ke Malaysia selama 12 jam menggunakan pasport Caribbean, kerakyatan yang dibelinya.

“30 tahun lalu, saya diharamkan masuk ke Malaysia kerana pasport Israel saya. Jadi, saya pergi beli kerakyatan baru agar dapat masuk dan tunjukkan kepada anda.”

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud menjelaskan bahawa, kemasukan YouTuber terkemuka itu adalah sah kerana dia tidak menggunakan passport rejim haram aparteid Israel.

“Jika menggunakan pasport berkenaan sama sekali tidak dapat melepasi pintu masuk negara kita kerana diketahui Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.”

“Dia juga tidak mempunyai kesalahan di bawah peraturan Imigresen sebab kelulusan untuk masuk di bawah pas pelancong boleh diberikan semasa ketibaannya yang menggunakan pasport Saint Kitts and Nevis,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: