YouTube Sekat Had Umur Tonton Kisah Wartawan Palestin Ditembak Mati
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
WASHINGTON, 16 Disember 2022 – “Minggu ini @youtube mengehadkan had umur filem kami “The Killing of Shireen Abu Akleh” sekali gus mengurangkan jumlah tontonan kerana ia memerlukan penonton untuk log masuk. Tiada sebab bagi editorial untuk menyekat had umur jadi mengapa @youtube melakukan ini pada filem ini dan kandungan lain yang berkaitan dengan Shireen Abu Akleh?” soal Laila Al-Arian, wartawan penyiaran untuk Rangkaian Media Al Jazeera dalam Twitternya.
Tidak berpuas hati dengan sekatan dibuat YouTube, Laila yang juga merupakan penerima Anugerah Emmy menegaskan, sukar untuk tidak membuat kesimpulan bahawa filem media Al Jazeera mengenai pembunuhan wartawan Palestin oleh tentera rejim haram aparteid Israel, Shireen Abu Akleh sedang ditapis.
“Saya difahamkan bahawa akaun pro-Israel melaporkan video yang mereka tidak suka dan YouTube bertindak balas dalam bentuk, walaupun tidak jelas sama ada ia adalah algoritma atau orang yang melalui laporan ini.”
Menurut perkongsian seorang pengguna Twitter, beliau juga melalui perkara serupa apabila memuat naik video mengenai Palestin.
“Same thing happened when i uploaded Peace propaganda and the promised Land. The twitter account used to post and commiserate about those issues was also suspended a few months ago.”
Berikutan sekatan itu, Laila menyatakan bahawa beliau menunggu juara kebebasan bersuara untuk bercakap mengenai perkara ini.