YDPA Zahir Rasa Terima Kasih Kepada UAE Atas Sumbangan Vaksin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 26 Januari 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Mulia Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di atas sumbangan satu juta vaksin Covid-19 Sinopharm dengan ketibaan dan penyerahan bekalan kumpulan pertama 500,000 dos kelmarin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menjunjung titah Seri Paduka Baginda melalui kenyataan rasmi Istana Negara, menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan Baginda kepada Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur, Nouf Ibrahim Ali Rasheed Al-Kuwaiti dan Duta Besar UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Alghaith, atas sumbangan ini.
Sumbangan kumpulan pertama ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh Menteri Luar YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dalam upacara ringkas penyerahan yang disampaikan oleh Nouf Ibrahim Ali Rasheed Al-Kuwaiti. Lebih 500,000 dos bagi bekalan kumpulan kedua dijadualkan tiba dalam masa dua minggu lagi.
UAE juga pernah menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR dan 7 tan sanitizer melalui program Stok Peralatan Diplomatik Malaysia (MEDS) untuk kegunaan kedutaan Malaysia di luar negara.
Ini jelas membuktikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara kukuh dan akrab. Semoga ini dapat membantu kerajaan dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam memerangi dan membendung penularan virus ini.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dan Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin atas pelaksanaan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan UAE dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin berkenaan.
Rakyat Malaysia diseru untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan penularan COVID-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera.