YDPA Titah Rakyat Malaysia Di Singapura Supaya Turut Mengundi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 28 Oktober 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (YDPA) dalam titah Seri Paduka Baginda semalam mengingatkan rakyat Malaysia di Singapura untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan turun mengundi.
“Saya ingin mengingatkan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan untuk mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang walaupun jauh sikit tetapi hati mesti tetap menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak sebagai pengundi,” titah Seri Paduka Baginda, menurut sebuah laporan tempatan.
Bertitah kepada sejumlah rakyat Malaysia yang menghadiri majlis santapan malam di Shangri-la Singapura, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan keutuhan persaudaraan rakyat Malaysia di Singapura yang saling bantu-membantu antara satu sama lain ketika dunia dibadai wabak COVID-19.
Majlis santapan bersama Seri Paduka berdua turut disertai oleh anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah.
Seri Paduka berdua telah berkenan mengunjungi Singapura bagi mengadakan lawatan selama empat hari yang merupakan gambaran tentang hubungan erat antara Malaysia dan Singapura.
Kunjungan tersebut turut menyaksikan pemimpin kedua-dua negara jiran beramah mesra, di mana Seri Paduka berdua sempat bertemu dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob berserta suami, Mohammed Abdullah Alhabshee.