YDPA Rasmikan Pusat Bersalin Pulau Tioman Pertama, Cetusan Idea Seri Paduka Baginda
PULAU TIOMAN, 21 Februari 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pusat Bersalin, Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman, Pahang, di mana pembinaan tersebut merupakan cetusan idea dan titah Seri Paduka Baginda sendiri.
Menurut hantaran Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda menitahkan pembinaan pusat bersalin yang pertama itu untuk memudahkan penduduk di Pulau Tioman.
Ini kerana, semasa lawatan ke Pulau Tioman pada Mac 2022, Seri Paduka Baginda disembah maklum bahawa semua kelahiran anak penduduk di situ berlaku di luar pulau.
BACA JUGA: Najib Razak Cadang ‘Multitier Dividen Structure’ Bantu Pencarum Berbaki Rendah
BACA JUGA: Tambah Jawatan Dalam Mahkamah Syariah Supaya Setaraf Mahkamah Sivil – Aminuddin Yahaya
BACA JUGA: Jenazah Lelaki Didakwa Bukan Islam, MAIS Tunggu Keputusan Rayuan Mahkamah
Oleh itu, pusat bersalin itu dibina di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman selain turut menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan kesihatan ibu dan anak serta perkhidmatan pergigian bermula Oktober 2022 lalu.
Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis perasmian bersama anakanda, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan ambulans pacuan empat roda sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), selain turut menyantuni tiga orang ibu mengandung yang bakal menjadi antara ‘pesakit terawal’ perkhidmatan pusat bersalin itu.
Selain itu, Seri Paduka Baginda juga turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 41 penerima terdiri daripada penduduk Pulau Tioman.