Tempatan

Yang Gila Siapa? – Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Mudah melontarkan kata “gila” kepada orang yang hendak mengangkat bahasa negara ke mercu maruahnya yang hak. Soalnya siapa yang gila? Gilakah Perdana Menteri kerana hendak memperkukuh kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara seperti ketetapan Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan undang-undang lain? Gilakah beliau kerana menetapkan bahasa Melayu untuk urusan kerajaan di luar negara? Jika demikian, banyak pemimpin dunia yang gila kerana menggunakan bahasa kebangsaan mereka di forum antarabangsa.

Jaminan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan bahasa Melayu dilaksanakan dalam pentadbiran negara pun adakah tindakan gila? Jika begitu, gilalah penggubal Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam, seperti dalam Perkara 152(6).

Menurut lunas Islam, apabila orang yang didakwa itu tidak seperti yang didakwa, maka dakwaan itu berbalik kepada pihak yang mendakwa. Perdana Menteri pasti tidak gila kerana tindakan beliau memenuhi ungkapan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putera, iaitu “bahasa kebangsaan ibarat roh pada jasad”. Orang yang berusaha mengisi dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan pasti bukan orang gila.

Yang banyak wujud ialah orang yang tergila-gilakan kebudayaan Barat, termasuk bahasanya. Soalnya orang di dunia Barat sendiri tidak tergila-gilakan bahasa Inggeris. Orang Jerman, orang Perancis, orang Belanda, orang Finland, orang Sepanyol dan bangsa Barat yang lain tetap siuman meraikan bahasa mereka dalam mengejar kemajuan. Orang di Asia Timur, iaitu orang China, orang Korea dan orang Jepun pun begitu. Orang Rusia, orang Turki, orang Iran pun demikian.Tidak pula semua mereka itu dikatakan gila.

Kegilaan memuja bahasa asing yang dianggap satu-satunya bahasa dunia itulah sikap gila. Pejuang bahasa tidak pernah gila kerana perjuangan itu tidak pernah menjadikan mereka memusuhi mana-mana bahasa lain. Setiap bahasa ada faedahnya tetapi mengutamakan bahasa negara menjadi kewajaran. Maka berhentilah daripada mendakwa orang yang memperjuangkan bahasa negara gila kerana khuatir pendakwa itulah yang sebenarnya “gila bahasa dan budaya asing”.

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: