FoodsNGO

YADIM Letakkan Komuniti LGBT Dalam Kategori Rentan, Keutamaan Aktiviti Dakwah – Tuan Kamarul Arief Tuan Soh

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2022- “Sebagai sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Kerajaan untuk menumpukan kepada usaha-usaha dakwah melalui aktiviti sosial, pendidikan dan kebajikan, YADIM sememangnya telah meletakkan komuniti LGBT sebagai salah satu kumpulan dalam kategori rentan  yang diberikan keutamaan oleh YADIM dalam aktiviti dakwah kami selain 6 kategori yang lain,” ujar Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PERKASA tentang keterlibatan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dalam menghadapi isu LGBT yang hanya terbatas sekitar aktiviti dalam dewan kuliah dan seminar adalah satu kenyataan yang sangat tidak tepat dan memberi indikasi kurang menyeluruhnya maklumat yang diketahui oleh pemimpin NGO tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YADIM itu, sekiranya diamati dari rangkaian media sosial YADIM seperti Facebook, Instagram dan media yang lain, pelbagai program telah, sedang dan akan digerakkan di seluruh negara dalam menyantuni kumpulan ini.

Ujar beliau, secara peribadi saya sendiri telah terlibat dalam pelbagai program temu rapat bersama kumpulan ini di Kelantan, Pahang dan beberapa negeri yang lain di rumah-rumah aktiviti mereka dan bukannya hanya di dewan kuliah seperti yang didakwa.

“Selain bertemu dan berdialog untuk menyelami perasaan kumpulan ini, YADIM turut menyampaikan sumbangan bantuan keperluan kepada mereka khususnya dalam bulan Ramadhan dan Syawal serta sepanjang tempoh PKP yang lalu kerana sememangnya kumpulan ini sangat terkesan dari segi ekonomi diri mereka.”

Golongan LGBT Diberi Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardhu Ain

Tambah beliau, hasil dari pertemuan-pertemuan ini pula telah membuahkan hasil yang konstruktif dengan penganjuran kelas bimbingan pengajian al-Quran dan Fardhu Ain secara tetap di rumah kegiatan mereka dengan pembiayaan kelas tersebut dibiayai oleh YADIM.

Jelasnya, projek yang sedang berjalan ini dilaksanakan setakat ini di Kuantan dan inshaAllah akan dikembangkan ke kawasan-kawasan lain pada masa akan datang.

Menurut beliau lagi, YADIM juga telah merancang untuk menganjurkan Mukhayyam (Perkhemahan/Pemukiman) Ibadat untuk kumpulan ini yang dijadual pada bulan Oktober nanti.

“Program ini akan menghimpunkan seramai mungkin komuniti ini dari seluruh negara dengan penumpuan akan diberikan kepada usaha pengukuhan jati diri, syakhsiah dan ibadah kumpulan ini selain sesi perkongsian dengan kumpulan mereka yang telah berhijrah,” katanya.

Oleh kerana program ini akan diadakan dengan kolaborasi pihak Hospital Pengajar UIAM, mukhayyam ini akan turut memfokuskan kepada inisiatif perubatan yang terkait dengan kesihatan kumpulan tersebut.

“Selain usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh YADIM dalam operasi dakwahnya, YADIM turut menggerakkan usaha kolaborasi bersama-sama dengan pelbagai NGO dan institusi atas kapasiti YADIM sebagai badan penyelaras NGO Islam yang diamanahkan oleh Kerajaan melalui platform Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang telah diwujudkan.”

“Sebagai contoh, melalui Kluster Hak Asasi Manusia MAIM program-program kesedaran dan advokasi hak bersama kumpulan ini diadakan secara langsung di lokasi mereka dan saya sendiri sekali lagi telah terlibat secara langsung dalam beberapa siri tersebut,” ujarnya.

Secara kesimpulannya, dakwaan yang dikemukakan  kepada YADIM dalam konteks ini agak melulu dan tersasar dari gambaran sebenar yang menyeluruh.

YADIM  Komited, Terbuka Berkolaborasi, Terima Pandangan, Kritikan Secara Positif

YADIM walau bagaimanapun, mengambil pandangan dan kritikan yang diberikan ini secara positif dalam erti kata usaha-usaha yang telah digerakkan oleh YADIM ini perlu disebarkan maklumatnya secara lebih meluas lagi bagi mengelakkan salah tanggap seperti ini timbul.

Dalam masa yang sama, YADIM berpandangan usaha menyantuni kumpulan LGBT ini memerlukan integrasi strategi jangka masa pendek dan panjang yang melibat usaha pembangunan kapasiti sahsiah diri, sosio ekonomi dan pendidikan yang berterusan.

Justeru, penggembelengan tenaga oleh semua pihak termasuk pihak Kerajaan, NGO, swasta dan masyarakat setempat amat diperlukan dan sebarang tuding menuding kesalahan hanya akan mempertajamkan polemik dan konflik serta tidak akan membawa sebarang manfaat dalam usaha murni ini.

“YADIM amat komited dan terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa sahaja yang ikhlas dan komited dalam usaha ini,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: