Xinjiang Police Files: Muslimah Dipenjara Kerana Anak Tidak Minum Arak
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
XINJIANG, 28 Mei 2022 – Seorang nenek Uyghur yang beragama Islam, Tajigul Tahir dipenjarakan oleh kerajaan China hanya kerana anaknya tidak mempunyai tabiat minum arak mahupun merokok, menurut pendedahan Xinjiang Police Files.
Kerajaan China menganggap perbuatan tidak meminum arak dan merokok sebagai penanda bahawa anaknya adalah ‘seseorang yang kuat sifat waraknya’ — suatu kesalahan besar di mata pihak berkuasa.
BACA: Pelampau Hindutva Berpesta Hancurkan Kubur Umat Islam
BACA: Pemujaan Dewa Hanuman Mula Dimainkan Lawan Laungan Azan Subuh
BACA: Naikkan Harga Atau Tiga Juta Telur Tiada Ramadhan Ini — Lee Yoon Yeau
Tursun Kadir, pendakwah yang berusia 58 tahun pula dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun 11 bulan atas kesalahan ‘menyimpan janggut’, dan ratusan lagi umat Islam dipenjarakan atas kesalahan ‘membiarkan telefon kehabisan kredit’ serta ada juga dipenjara kerana kesalahan mendengar kuliah agama.
Mereka ini adalah di antara ribuan umat Islam etnik Uyghur yang telah ditangkap dan dipenjarakan secara zalim oleh kerajaan China yang hanya diketahui kisah mereka selepas tersebarnya dokumen sulit ‘Xinjiang Police Files‘ baru-baru ini.
Selepas puluhan tahun merahsiakan pencabulan hak asasi yang amat serius terhadap umat Islam Uyghur, ribuan gambar dan dokumen menunjukkan kekejaman layanan China terhadap mereka telah tersebar di masyarakat dunia selepas server pasukan polis China berjaya digodam.
Data yang berjaya digodam itu diserahkan kepada Dr Adrian Zenz, sarjana merangkap aktivis di Amerika Syarikat yang kemudian menyebarkan dokumen sulit ‘Xinjiang Police Files‘ itu kepada beberapa media antarabangsa baru-baru ini.
Dalam fail tersebut mengandungi data mengenai lebih daripada 20,000 umat Islam Uyghur dari daerah Shufu diheret masuk ke dalam penjara dari tahun 2017 hingga 2018 atas alasan yang tidak munasabah – kesalahan gagal tambah nilai kredit telefon, tidak mencukur janggut, belajar mengaji Al-Qur’an dan sebagainya.
Sejak tahun 2017, seramai 1.8 juta umat Islam Uyghur dan minoriti Muslim lainnya telah ditahan secara paksa di kem tahanan Xinjiang, kononnya bagi diberi didikan semula bagi mengawal dan mengasimilasikan golongan minoriti ini kononnya sebagai langkah mengelakkan aktiviti pelampauan dan keganasan agama.
Pihak berkuasa China dilaporkan telah menyasarkan dan menahan ramai ahli perniagaan, para pemikir, dan tokoh budaya dan agama Uyghur di sekitar Xinjiang selama beberapa tahun ini.